Isnin, 4 April 2011

Allah menambahkan usiamu lagi. Maka perbanyakkanlah syukur ke hadrat-Nya.


Allah menambahkan usiamu lagi.  Maka perbanyakkanlah syukur ke hadrat-Nya.  

Untuk seorang sahabat sering aku ucapkan “Allah menambahkan usiamu lagi.  Maka perbanyakkanlah syukur ke hadrat-Nya.   Selamat menyambut ulang tahun kelahiran.  Mudah-mudahan tahun mendatang ini memberikan seribu kebaikan kepadamu. “   Sang sahabat cuma tersenyum sinis. Sesekali dia tersenyum sambil tangannya mencuit hidung  dan telinganya.  Tidak pasti dia benar-benar memahami mesej yang disampaikan daripada ucapan sependek itu.

Memang rasa ingin bersyukur itu tertanam dalam setiap hati sanubari manusia.  Siapalah yang tidak gembira ketika bangun pada hari ulang tahun kelahirannya, dia bertambah sihat dan cergas.  Siapalah  yang tidak gembira ketika diumumkan mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.  Siapalah yang tidak gembira apabila mendengar khabar si bapa atau si ibu atau si abang atau si adik atau si kakak atau  si kekasih selamat dalam satu tragedi kemalangan yang mengerikan.  Tentu rasa syukur itu tiba-tiba memuncak pada saat menghadapi setiap peristiwa itu.

Ada yang mengucap ‘ Alhamdulillah ‘ . Ada yang menghayati perasaan terharunya dengan titisan air mata.  Ada meratap dan meraung sebaik sahaja rasa syukur itu berkumpul di dalam jiwa raganya.


 “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberikan pernyataan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Ku-tambah nikmat-Ku kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (QS. Ibrahim: 7).


Kesyukuran itu menjadi benar-benar menjadi satu perasaan apabila diiringi dengan rasa ingin membesarkan kekuasaan Allah.  Siapalah manusia yang kerdil dan daif ini di sisi Allah melainkan makhluk  yang bergantung harap kepada bantuan Allah.

Demikian sentiasa manusia yang bersyukur itu sentiasa menyedari bahawa dia tidak pernah terlepas daripada sebarang ujian dan  bala. Ketika mana dia diuji dalam kehidupannya, dia bersungguh-sungguh menghadapi ujian kehidupan itu sehingga dia berjaya membawa dirinya ke tahap yang terbaik.  Demikian juga ketika dia ditimpa bala, titisan air mata tidak menjadikan dia berputus asa malah  tidak pernah lepas hatinya daripada mengingati Allah dengan memohon bantuan demi bantuan untuk melepaskan dirinya daripada kesulitan hidup itu dan mengekalkan kehidupannya dalam afiat.

Orang-orang yang bersyukur amat mengerti akan keadaan dirinya ketika susah dan senang dan ketika menerima anugerah atau musibah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan