Isnin, 22 Julai 2013

MEMBERSIHKAN PUASA DARIPADA DOSA, RAFATS DAN LAGHA


Puasa atau Siyam dalam bahasa Arab dari segi bahasa bererti menahan diri. Hubungkait antara istilah bahasa dan istilah Syarak sangat dekat kerana perkatan Siyam dalam istilah Syarak membawa maksud menahan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar Sadiq sehingga terbenam matahari dengan niat kerana ALLAH SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya serta berbuat maksiat, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya. (Riwayat Al-Bukhari)

Umat Islam yang berpuasa mesti memahami bahawa selain menahan diri daripada makan dan minum sewaktu berpuasa; maka wajib mereka meninggaklan amalan zahir (fizikal) seperti makan, minum, jima’, muntah dengan sengaja dan menahan diri daripda amalan batin yang mendatangkan dosa dan melalaikan seperti mengumpat, merendah-rendahkan peribadi orang lain, membangga-banggakan hasil kerja sendiri, mengadu-domba, menghabisi waktu dengan tidur sepanjang hari dan lain-lain

Nabi SAW bersabda: “Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan dari makan dan minum, tetapi sesungguhnya puasa itu adalah dengan meninggalkan perbuatan Lagha dan Rafats. Sekiranya seseorang mencemuh kamu atau berbuat bodoh terhadapmu, maka katakanlah: “Sungguh aku sedang berpuasa.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Perbuatan Rafats adalah perbuatan keji yang menjurus kepada lucah dan segala muqaddimah zina; seperti zina mata, telinga, mulut, sentuhan, kaki, hati, itu semua termasuk dalam erti kata Rafats.

Perbuatan Lagha adalah perbuatan yang tidak berfaedah, melakukannya tidak berdosa, tetapi tidak menambah pahala. Walaupun tidak berdosa, tetap disuruh supaya kita meninggalkannya ketika berpuasa. Adapun lawan kepada lagha adalah zuhud dan wara’.

Zuhud ialah “meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat di Akhirat” yakni perkara yang tidak berguna untuk dirinya di Akhirat nanti, walaupun ianya tidak berdosa. Berbeza dengan wara’ yang bererti “meninggalkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan di Akhirat”. Maka ketika puasa kita bukan sahaja disuruh meninggalkan perbuatan haram dan melaksanakan yang wajib. Itu benda yang pasti. Lebih dari itu, kita disuruh bersikap zuhud dan wara’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan