Ahad, 10 Ogos 2014

BERADAB SOPAN DI HADAPAN GURUMU



Untuk memperoleh ilmu yang diberkati, beradap sopanlah di hadapan gurumu. Dia gurumu yang memberi jalan petunjuk untuk kebaikan hidupmu. Tokoh ilmuan dan ulama besar dalam urusan men
cari ilmu sangat prihatin menjaga adab kesopanan di hadapan guru mereka demi mengharapkan ilmu yang diperoleh penuh keberkatan.

Mughirah berkata “ Kami menghormati Ibrahim an-Nakha‘ie sepertimana kami menghormati raja.”

Imam Asy-Syafi‘e pula berkata, “ Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut).”

Rabie‘ berkata,” Demi Allah aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Asy-Syafi‘e memandang kepadaku”.

Sayyidina Ali Karramallahu wajhah berkata,” Antara hak seorang alim ke atasmu ialah memberi salam ke atas orang ramai secara umum dan mengkhususkan gurumu dengan penghormatan yang khusus dan istimewa.”

Sifat merendah diri sangat utama ketika berhadapan dengan gurumu. Usah sekali-kali meninggalkan majlisnya tanpa urusan yang lebih penting daripada pencarian ilmu. Dan ketika ingin meninggalkan majlisnya, pastikan gurumu meredai akan tujuanmu meninggalkan majlis ilmunya. Imam Asy-Syafi‘e misalnya, sejak pertemuannya dengan gurunya iaitu Imam Malik pada tahun 170 Hijrah, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya sehingga gurunya itu wafat pada tahun 179 Hijrah. Ini kerana Imam Asy-Syafi‘e tidak pernah meninggalkannya kecuali ketika pergi ke Makkah untuk menjenguk ibunya ataupun pergi ke pusat ilmu dan feqh. Itu pun setelah beroleh keizinan serta restu daripada gurunya. Jika direstui, Imam Malik akan menyiapkan bekal dan memberikannya wang perbelanjaan sambil mendoakan keselamatannya.

Dalam menghadiri majlis ilmu gurumu, pastikan dirimu dalam keadaan yang bersih dan kemas. Imam Malik sepanjang hidupnya, membiasakan mandi dengan baik dan teratur, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian terbaik setiap kali ia menghadiri halaqah untuk belajar ataupun mengajar.

Hendaklah semasa menghadiri majlis ilmu itu kosongkanlah hatimu daripada segala urusan di samping mensucikan mindamu serta fikiranmu. Elakkanlah menghadiri majlis ilmu dalam keadaan mengantuk atau marah atau lapar yang bersangatan ataupun dalam keadaan dahaga dan sebagainya supaya dada mereka dilapangkan untuk menerima pengajaran yang diberikan dan mampu mengingati apa yang telah guru perdengarkan kepada mereka.

Ketika sedang belajar, sentiasa menunjukkan adab terhadap kawan-kawan sekelas dan sesiapa sahaja yang menghadiri majlis ilmu atau kelas guru mereka itu. Hal ini merupakan sikap sopan terhadap guru dan pemeliharaan terhadap majlis ilmu ataupun kelasnya.

Apabila duduk di hadapan gurumu ketika belajar, duduklah dengan penuh tawadhu‘, khusyu‘ dan tenang. Pandanglah guru itu ketika dia bercakap dengan penuh perhatian dan memikirkan secara mendalam akan kata-katanya dan tidak memandang ke arah lain tanpa keperluan, begitu juga tidak bermain-main dengan tangan, kaki atau anggota-anggota yang lain ataupun bermain-main dengan pen, pakaian serta lain-lain perbuatan yang boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap ajaran gurumu.

Pengarang kitab Al-Fawaid Al-Makiyyah iaitu As-Sayyid ‘Alawi berkata,” Antara adab pelajar itu ialah tidak lupa mendoakan gurumu setiap masa sepertimana dia tidak lupa untuk mendoakan ibu bapanya dan berbuat baik kepadanya sepertimana dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.


Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Aku tidak pernah lupa mendoakan Imam Asy-Syafi‘e ketika bersembahyang semenjak empat puluh tahun lalu. Kerana banyaknya doa Imam Ahmad bin Hanbal untuk Imam Asy-Syafi‘e ini, anaknya bertanya kepadanya: Siapakah dia Asy-Syafi‘e ini sehingga engkau pohonkan segala doa-doa ini untuknya!? Imam Ahmad pun menjawab: Anakku, Imam Asy-Syafi‘e umpama matahari bagi dunia ini dan merupakan kesejahteraan bagi seluruh umat manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan