Khamis, 7 Ogos 2014

PUASA ITU PENAWAR.



    
Tidak lama lagi umat Islam akan berpuasa.  Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel.
               Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, “Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu…” (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)
             Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It’s Good For The Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.
               Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions; November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)
               Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di University of Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, “Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat.” (Rujukan: Fasting for Health and as an Anti-Aging Strategy, www.healthy.net)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan