Selasa, 17 Mac 2015

DOA BUAT MUHAMAD ISYRAF EILMY (Ulangtahun ke-2 kelahiran )


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih.

Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, semulia-mulia nabi dan rasul dan ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda semuanya
.
Ya Allah, bahawa sesungguhnya kami mohon pemeliharaan-Mu dan penjagaan-Mu terhadap Muhamad Isyraf Eilmy dalam urusan agama kami, keimanan kami, diri kami, ahli-ahli keluarga kami, anak-anak kami, harta-benda kami, negeri kami dan kediaman kami serta segala sesuatu yang Engkau telah kurniakan kepada kami.

Ya Allah, mohon jadikan kami dan segala yang telah kami sebutkan tadi di dalam kawalan-Mu, di dalam keamanan-Mu, di dalam dampingan-Mu dan di dalam lindungan-Mu daripada syaitan yang derhaka lagi degil itu dan daripada bencana ain (tikaman pandangan mata yang merbahaya) dan daripada yang mempunyai kezaliman serta daripada kejahatan tiap-tiap yang mempunyai kejahatan. Bahawa sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah, mohon teguhkan Muhamad Isyraf Eilmy dengan ketakwaan dan kekuatan pendirian di jalan yang lurus dan mohon lindungi kami daripada yang membawa kepada penyesalan di dunia dan di akhirat bahawa sesungguhnya Engkau adalah Maha memperkenankan segala doa. Ya Allah, perbaikilah hasil urusan kami dan jauhkanlah kami dari kehinaan dunia dan azab akhirat.

Ya Allah, bantulah, panjangkanlah umur, berikanlah petunjuk serta peliharakanlah dia daripada perkara yang haram dan bentuklah dia dengan perkembangan yang sihat dan suburkanlah ia dengan kehidupan yang baik dan berikan padanya petunjuk dan ketaqwaan di dunia dan akhirat. Ya Allah, perbaikilah dirinya dan akhlaknya, hiasilah jiwanya dengan cahaya keimanan dan penuhi hatinya dengan ketaqwaan serta berpendirian teguh. Dan jadikan dia seorang yang berbakti kepada kedua ibu bapanya bukan seorang yang derhaka terhadap keduanya, dan jadikannya dari kalangan orang-orang yang salih. Dan hindari ia dari orang-orang yang berhasad dengki.

Ya Allah berikan pada jiwa-jiwa Muhamad Isyraf Eilmy ketaqwaan kepada-Mu dan sucikannya, Engkaulah sebaik-baik Zat Yang Menyucikan jiwa. Engkaulah Pelindung dan Penolongnya,, Wahai Tuhan Pencipta dan Pentadbir sekalian alam.
Ya Allah, kami memohon kepadaMu kebaikan dan jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang baik, dan Engkau berurusanlah dengan kami seperti Engkau berurusan dengan orang-orang yang baik, dan Engkau peliharalah kami dan Muhamad Isyraf Eilmy daripada segala keburukan, ujian, fitnah dan kemudharatan. Ya Allah berkatilah bagi kami pendengaran kami, penglihatan kami, hati-hati kami, isteri-isteri kami, zuriat keturunan kami, dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkau penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Wahai Tuhan kami, ilhamkan kami supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan pada kami dan kepada kedua ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai. Dan masukkan kami dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan orang-orang yang salih. Ya Tuhan kami kurniakanlah kami daripada isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami yang menyenangkan hati kami melihatnya dan jadikanlah kami sebagai ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Wahai Tuhan, jadikan Muhamad Isyraf Eilmy orang yang mendirikan sembahyang dan demikian juga zuriat keturunannya. Wahai Tuhan kami perkenankanlah doa kami. Wahai Tuhan kami, berilah ampun baginya dan bagi kedua ibubapanya serta bagi orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

Ya Tuhan kami, mohon kurniakan kepada kami kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat dan mohon selamatkan kami daripada azab api neraka.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad serta kepada ahli keluarga dan para sahabat baginda. Segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan