Kau seorang anak yang harus akur kepada kudrat kehidupan. Janganlah berjauh hati dan berjauh diri dari ibu bapamu. Ibu bapa adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kekurangan sehingga dalam tindak tanduk mereka, mungkin terdapat beberapa kekurangan yang mendukacita hatimu.
Mungkin sejak awal ibubapa tidak memberikan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya kepadamu. Maafkanlah mereka kerana hal ini lazimnya berlaku disebabkan suasana kehidupan masa lalu yang amat sukar sehingga memaksa mereka untuk bekerja keras dari kegelapan pagi hingga kegelapan malam semata-mata untuk menyediakan bumbung, makanan, pakaian dan pendidikan untukmu
Mungkin sejak awal ibu bapa asyik bertengkar sehingga menyebabkan kamu mengambil sikap menyisihkan diri daripada mereka. Maafkanlah mereka kerana pertengkaran tersebut bukanlah sesuatu yang diingini oleh mereka akan tetapi berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor yang sukar untuk dielakkan oleh mereka disebabkan tekanan hidupan yang bermacam ragam rencam dan hambar.
Mungkin sejak awal ibu bapa asyik menengking dan memukulmu sehingga menyebabkan kamu membenci mereka. Sekalipun hati berat untuk memaafkan perbuatan itu, maafkanlah mereka . Menengking dan memukul bukanlah pilihan mereka akan tetapi lebih disebabkan oleh tekanan kehidupan yang menyebabkan mereka “melepaskannya” kepada anak-anak. Sudah tentu ini bukanlah satu tindakan yang baik. Akan tetapi mereka cuma manusia yang punyai pelbagai kelemahan.
Maafkan mereka kerana mereka adalah ibu bapa kamu. Maafkan mereka kerana kamu juga akan menjadi ibu bapa kepada anak-anak kamu. Suatu masa nanti dugaan yang pernah dihadapi oleh ibu bapamu itu pasti kamu hadapi dan pada waktu itu, pastikan anak-anakmu tidak menyisihkan diri daripada kamu. Tanamkan kemaafan itu sentiasa ada di dalam hatimu dan berdoalah mohon keampunan dan keberkatan hidup untuk mereka.
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”
[Nuh 71:28]