MENINGKATKAN AMALAN DIRI
1. Puasa enam hari dalam bulan Syawal
Fadhilat atau keutamaannya sangat besar
sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa
Ramadhan, kemudian diiringi dengan
puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Riwayat Muslim)
Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara
berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh
dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari
tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan
Syawal. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan
Syawal diniatkan berserta puasa qadha Ramadhan.
2. Puasa hari 'Arafah (9 Zulhijjah)
Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan
ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi
hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah s.a.w. telah
ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud:
"Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya."
(Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)
Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu
menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag."
(Diriwayat oleh Muslim)
3. Puasa pada bulan Muharram
Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah
bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas
Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan
seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat
Muslim)
Daripada Ibu 'Abbas r.a.
katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa
pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa
berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari
(mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
4. Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)
Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya
Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari
ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia
akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)
5. Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)
Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum
sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9
Muharra,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
PERINGATAN
Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari
sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari
ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu
ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya
makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.
Sabda Nabi
Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10
Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu
berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)
6. Puasa bulan Sya'aban
Daripada Usamah bin Zaid r.a. katanya, aku
berkata: "Wahai Rasullullah, tidak saya lihat tuan hamba berpuasa satu
bulan daripada bulan-bulan (dalam setahun selain Ramadhan) seperti tuan
berpuasa pada bulan Sya'aban." Sabda Rasullullah s.a.w.: "Bulan ini
(yakni bulan Sya'aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara
Rajab dan Ramadhan, pada hal ia (yakni bulan Sya'aban) adalah bulan
diangkat amalan kepada Tuhan seru sekelian alam, maka aku suka amalanku
diangkat dan aku berpuasa." (Riwayat al-Nasai)
Ummu Salamah r.a. pula berkata: "Tidak pernah aku lihat
Rasullullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan pada
bulan Sya'aban dan Ramadhan." (Riwayat al-Turmuzi)
7. Puasa pada hari Isnin dan Khamis
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah
s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan
itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan
amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)
Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu
Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada
hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:
Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan
menajdi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul
al-Salam)
8. Puasa hari Rabu, Khamis dan Jumaat
Daripada 'Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada
bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah
s.a.w. mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda Rasullullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak (maksudnya tidak dibenarkan puasa
tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada hak.
Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam
hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka
anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga
telah berbuka." (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)
Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah
mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapa berpuasa pada
hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya
sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat
baginya bebas dari api neraka>" (Riwayat al-Tabrani)
Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad
s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu,
Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau
banyak, nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi
yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa."
(Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
9. Puasa pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)
Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi
Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasa tiga hari pada setiap bulan
adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada
hari 13,14 dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad
yang sohih)
10. Puasa tiga hari pada setiap bulan
Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Qatadah,
bahawasanya Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Puasa tiga
hari pada setiap bulan, Ramadhan ke Ramadhan itulah puasa sepanjang
masa."
Mengenai berpuasa tiga hari pada
setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama. Antaranya dikatakan puasa
tiga hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah pendapat kebanyakkan
Ulama, antara lain Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Zar, al-Syafi'i, Abu Hanifah,
Ahmad dan Ishaq.
Sementara al-Nakha'i berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.
11. Puasa selang-seli (sehari puasa sehari tidak)
Hadith daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al-'As
r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Telah
sampai berita kepadaku bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga
(kerana beribadah) waktu malam. Jangan buat demikian kerana untuk
jasadmu atas dirimu ada habuan, untuk matamu atas dirimu ada habuan dan
untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan berbukalah. Puasa tiga hari pada
setiap bulan, maka dengan demikian anda mendapat pahala sepanjang
tahun." Aku berkata: " Wahai Rasullullah, aku mempunyai kekuatan
(keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda Rasullullah s.a.w. "Maka
berpuasalah puasa NabiDaud a.s. iaitu berpuasalah sehari dan berbuka
sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda
Rasullullah sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah
s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t.
ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah
sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari
dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)