Jumaat, 6 Januari 2012

PERIHAL MENYEMBUNYIKAN AIB ORANG LAIN




Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan yang buruk
dalam kalangan orang beriman, mereka  akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak
mengetahui (yang demikian)." (Surah al-Nur: 19)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang
menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan
akhirat kelak." (Hadis riwayat al-Bukhari).

 Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir (salah seorang sahabat Nabi) berkata: "Saya
pernah memberitahu Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak dan saya
akan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka datang menangkapnya. Lantas
Uqbah berkata: "Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu". Abu al-Haisam menjawab: "Saya
sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan
melaporkannya kepada pihak berkuasa."

Uqabah berkata lagi: "Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah bersabda yang
bermaksud:   “ Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak
yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i).

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang
lain, bererti kamu sudah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka
itu." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Wahai orang
yang telah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam
hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari-cari keaiban
mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula
keaibannya. Sesiapa yang telah dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan
mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh." (Hadis riwayat al-Tirmizi
dan Ibn Majah)

Menjelaskan mengenai perkara mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin
membahagikan manusia kepada dua golongan. Pertama, orang yang tidak pernah disebut
melakukan kejahatan atau kemungkaran.  Jika terdengar atau diketahui bahawa mereka
melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklahharus didedah atau diperkatakan. Jika tetap
diperkata atau didedahkan juga kemungkaran didengari itu maka ia menjadi ghibah (umpat)
yang hukumnya haram dan berat dosanya.

Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara
terang-terangan malah tidak mempedulikan sebarang nasihat yang diberikan dan tidak malu
dalam melakukan kejahatan secara terbuka.  Golongan ini harus didedahkan keaibannya
. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatanmereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap
mengumpat. Malah, ada kalanya wajib didedahkankejahatannya kepada orang ramai supaya
mereka sentiasa berwaspada dengan tingkahlakunya. Sebab jika didiamkan tentulah ia akan
bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah, sehingga membahayakan
masyarakat.

Menurut sesetengah ulama pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat
perkara iaitu keaiban berkaitan hak Allah, keaiban lampau yang tidak diketahui orang, keaiban
orang berkedudukan dalam masyarakat dan keaiban dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan