Rabu, 20 April 2011

KEMULIAAN GURU MENGATASI AMALAN 'ABID


KEMULIAAN   GURU MENGATASI AMALAN ‘ ABID

 


Guru dan ilmu adalah dua unsur yang tidak dapat dipisahkan. Guru adalah jambatan ilmu yang amat penting dalam sesuatu masyarakat. Sebagaimana pentingnya ilmu, maka begitu jugalah pentingnya guru dalam menyampaikannya kepada orang lain. Tanpa jembatan ini, ahli sesuatu masyarakat akan kekal hidup dalam gelap kejahilan dan meraba-raba mencari pedoman.

Menurut neraca syariat Islam yang bersifat syumul dan komprehensif merangkumi seluruh aktiviti manusia, menuntut ilmu adalah satu kewajipan yang ditaklifkan ke atas setiap orang Islam lelaki samada kewajipan itu bersifat individu mahupun yang bersifat kolektif. Ilmu yang wajib dituntut secara individu dinamakan sebagai ilmu fardhu ain dan ilmu yang wajik dituntut secara kolektif dinamakan sebagai ilmu fardhu kifayah. Secara umumnya ilmu adalah suatu yang wajib dicari dan dipelajari oleh setiap muslim lelaki dan perempuan.

Berbagai cara dan metod boleh digunakan untuk menghasilkan ilmu. Antara cara dan jalan yang paling utama dan relevan hingga ke hari kiamat ialah melalui penyampaian guru yang mengetahui terlebih dahulu ilmu-ilmu yang hendak disampaikannya. Oleh itu boleh dikatakan ilmu tidak akan sampai kepada masyarakat tanpa guru. Guru adalah syarat sampainya ilmu kepada masyarakat. Justeru itu tuntutan syariat terhadap wujudnya guru juga adalah sama status hukumnya sepertimana status hukum menuntut ilmu. Jika hukum menuntut ilmu ada dua bentuk fardhu iaitu fardhu ain dan fardhi kifayah, maka hukum taklif wujudnya  guru bagi menyampaikan ilmu itu juga ada dua iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah. Ini kerana kaedah syarak telah menyatakan bahawa:


“Sesuatu perkara yang menjadi syarat sempurna sesuatu kewajipan maka hukumnya adalah wajib”.

Menyedari hukum taklif wujudnya guru dalam sesebuah masyarakat Islam adalah wajib maka ini bermakna profesion perguruan bukannya kerja yang tidak ada nilai dalam neraca Allah. Malah jika  ia dijalankan secara ikhlas dan faham, maka ia adalah satu profesion yang menduduki tangga teratas dalam status pengabdian diri kepada Allah Taala. Ini kerana para ulamak perundangan Islam telah meletakkan  amal atau kerja yang berstatus wajip sebagai satu yang utama ditunaikan dalam senarai pilihan amal yang perlu ditunaikan dalam melengkapkan pengabdian diri kepada Allah. Malah ada ulamak perundangan Islam menyatakan bahawa sesuatu amalan sunat tidak akan terpakai sekiranya ia menyebabkan sesuatu kewajipan ditinggalkan.

Guru adalah agen yang melengkapkan keperluan daruri yang mesti diperolehi oleh setiap manusia. Guru menyampaikan ilmu yang boleh menyuburkan akal manusia. Akan adalah salah satu daripada lima maslahat daruriat yang telah digariskan oleh fuqahak. Tanpa akal yang penuh dengan ilmu, manusia akan ditimpa dengan berbagai kerosakan dan ketidak seimbangan hidup di dunia dan di akhirat. Menyuburkan akal dengan ilmu yang berfaedah dan menjauhkannya daripada kejahilan dan ilmu yang tidak berguna adalah satu kewajipan. Tidak ada orang lain yang terlibat aktif setiap hari dalam menunaikan kewajipan ini melainkan  guru.

Maka realitinya, seorang muslim dan mukmin yang telah memilih profesion perguruan adalah seorang yang telah meletakkan dirinya dalam ‘rangking’ teratas senarai hamba-hamba Allah yang sedang menyempurkan perintah dan menjauhkan diri dari laranganNya. Dengan menggunakan perkataan yang padat dan penuh makna bolehlah dikatakan bahawa seorang muslim lelaki dan perempuan yang menjawat jawatan sebagai seorang guru telah meletakkan dirinya sebaris dengan orang-orang muttaqin. Ini kerana taqwa bermakna menunaikan perintah dan meninggalkan larangan Allah Taala. Guru telah menyahut perintah Allah untuk menunaikan kefardhuan menyampaikan ilmu kepada anak-anak Islam dan telah menjauhkan diri daripada laranganNya iaitu dari tidak menunaikan kewajipan tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w menjelaskan kelebihan orang alim ke atas abid yang menumpukan pada ibadah:

Maksudnya: Kelebihan orang alim ke atas abid adalah seperti kelebihan aku ke atas sahabat ku yang paling rendah kedudukannya. (Diriwayatkan oleh Tarmizi).

Sabda baginda lagi     

Maksudnya: Satu kalimah baik yang didengar oleh mukmin lalu diajarkan kepada orang lain dan diamalkan  adalah lebih baik daripada ibadat satu tahun. (Diriwayatkan oleh Ibnu Mubarak)

Selasa, 12 April 2011

KUBUR YANG GELITA


KUBUR YANG GELITA
(untuk yang berfikir… .)

Apabila ruh berpisah dari jasad dan apabila jasad menjadi mayat, maka terputus hubungan manusia dengan dunia yang menjadi medan amal dan medan ujian.  Ketika itu ruh berada di alam kekal dan berada di tempat perhitungan dan pembalasan.  Di sana, ada masa yang dilalui oleh setiap makhluk selepas meninggal dunia iaitu masa alam barzakh atau alam kubur.  Alam kubur ini ibarat perhentian untuk persediaan menanti hari kiamat. Oleh yang demikian, manusia tinggal di alam kubur dalam satu tempoh yang Allah akan tentukan waktu dunia ini dikiamatkan.
Kematian yang membawa jasad bersemadi walaupun berada di dalam perut binatang, mati dibakar, dikuburkan di dalam tanah.  Mayat itu akan disoal oleh dua malaikat bernama Munkar dan Nakir.  Pada waktu inila Allah memperhubungkan ruhnya dan jasad secara perhubungan yang khusus.  Oleh itu, manusia yang hidup di atas dunia ini  tidak merasai kewujudan perhubungan itu walaupun jasad yang mati itu dipamer dalam peti kaca di hadapan manusia. Yang akan disoal ialah mayat berkenaan yang menjadi ruh dan jasad dengan rupa yang diketahui Allah.
Dalam satu hadis riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda, " Apabila seorang mukmin duduk di kuburnya, datanglah kepadanya seseorang, kemudian dia menyaksikan bahawa Tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah dan menyaksikan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, maka yang demikian itu ialah firman Allah: Menetapkan Allah akan mereka yang beriman dengan perkataan yang tetap dalam kehidupan dunia dan juga di akhirat."
Yang dimaksudkan iman yang tetap dalam kehidupan dunia ialah ketetapan keimanan seorang mukmin itu atas jalan yang lurus semasa hayatnya di dunia dan ketetapan akidahnya ketika disoal oleh malaikat di dalam kuburnya.  Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud ketetapan kehidupan dunia ialah pertanyaan dalam kubur (kerana soalan ini berhubung dengan kehidupan di dunia) dan maksud ketetapan iman di akhirat ialah ketika dihitung (hisab) d hari Kiamat.
Pertanyaan kubur meliputi orang yang beriman dan orang kafir.  Malaikat akan berlembut  dengan orang Islam yang taat dan berkeras dengan orang kafir dan orang yang melakukan maksiat.
Mayat akan ditanya sebaik sahaja dimasukkan ke dalam kuburannya.  Terang dan suram atau gelitannya kuburan itu bergantung kepada keimanan dan amal kebajikan manusia di atas dunia ini.  Sebaik sahaja berpindah dari dunia ini ke alam kubur, segera malaikat mengajukan soalan  supaya apa yang disembunyikannya akan zahir. Soalan-soalan yang dikemukakan menyentuh perkara-perkara umum seperti siapakah Tuhanmu?  Apakah agamamu? Apakah kepercayaanmu terhadap orang yang diutus
Mayat orang-orang mukmin akan menjawab, Allah Tuhanku. Agama Islam ialah agamaku dan orang yang diutus kepada kami ialah Muhammad s.a.w. Dua malaikat itu akan berkata kepada mayat tersebut," Lihatlah tempat dudukmu di Neraka.  Allah telah menukarkannya dengan tempat di Syurga." Kemudian mereka memerintah mayat itu," Tidurlah dengan tenang."  Orang-orang kafir dan munafik akan menjawab tidak tahu.  Kedua-dua malaikat itu akan berkata," Tidakkah engkau ketahuinya dan tidak mengikutnya." Selepas itu mayat itu dipukul dengan batang besi.
Soalan kubur itu ialah fitnah atau ujian sebagaimana disebut oleh hadis Rasulullah s.a.w. bahawa ia adalah satu kebenaran.  Ada pendapat yang mengatakan maksud fitnah itu ialah jawapan mayat yang teragak-agak atau salah.  Ada yang berpendapat bahawa maksudnya ialah waktu itu Iblis laknatullah berada di hujung kubur.  Apabila mayat ditanya " Siapakah Tuhanmu? " Iblis akan menunjuk-nunjuk kepada dirinya.
Ada sebahagian manusia yang dikecualikan dari disoal sebagai penghormatan dan kemuliaan kepada mereka. Mereka itu ialah para Nabi, siddiqin, solihin dan yang berperang lalu mati dijalan Allah.  Ada hadis menyebut orang yang sering membaca surah Al-Mulk dan surah As-Sajadah tidak disoal.  Orang yang sabar dengan penyakit yang diterimanya semasa hayat tidak juga disoal.  Tetapi mengikut keterangan yang sahih, bahawa semua manusia akan disoal kecuali para Nabi.
Mereka yang disoal ialah setiap mukallaf yang terdiri daripada manusia dan Jin. Kita tidak dijelaskan tentang para Malaikat tetapi secara zahirnya mereka tidak disoal.

Isnin, 4 April 2011

Allah menambahkan usiamu lagi. Maka perbanyakkanlah syukur ke hadrat-Nya.


Allah menambahkan usiamu lagi.  Maka perbanyakkanlah syukur ke hadrat-Nya.  

Untuk seorang sahabat sering aku ucapkan “Allah menambahkan usiamu lagi.  Maka perbanyakkanlah syukur ke hadrat-Nya.   Selamat menyambut ulang tahun kelahiran.  Mudah-mudahan tahun mendatang ini memberikan seribu kebaikan kepadamu. “   Sang sahabat cuma tersenyum sinis. Sesekali dia tersenyum sambil tangannya mencuit hidung  dan telinganya.  Tidak pasti dia benar-benar memahami mesej yang disampaikan daripada ucapan sependek itu.

Memang rasa ingin bersyukur itu tertanam dalam setiap hati sanubari manusia.  Siapalah yang tidak gembira ketika bangun pada hari ulang tahun kelahirannya, dia bertambah sihat dan cergas.  Siapalah  yang tidak gembira ketika diumumkan mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.  Siapalah yang tidak gembira apabila mendengar khabar si bapa atau si ibu atau si abang atau si adik atau si kakak atau  si kekasih selamat dalam satu tragedi kemalangan yang mengerikan.  Tentu rasa syukur itu tiba-tiba memuncak pada saat menghadapi setiap peristiwa itu.

Ada yang mengucap ‘ Alhamdulillah ‘ . Ada yang menghayati perasaan terharunya dengan titisan air mata.  Ada meratap dan meraung sebaik sahaja rasa syukur itu berkumpul di dalam jiwa raganya.


 “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberikan pernyataan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Ku-tambah nikmat-Ku kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (QS. Ibrahim: 7).


Kesyukuran itu menjadi benar-benar menjadi satu perasaan apabila diiringi dengan rasa ingin membesarkan kekuasaan Allah.  Siapalah manusia yang kerdil dan daif ini di sisi Allah melainkan makhluk  yang bergantung harap kepada bantuan Allah.

Demikian sentiasa manusia yang bersyukur itu sentiasa menyedari bahawa dia tidak pernah terlepas daripada sebarang ujian dan  bala. Ketika mana dia diuji dalam kehidupannya, dia bersungguh-sungguh menghadapi ujian kehidupan itu sehingga dia berjaya membawa dirinya ke tahap yang terbaik.  Demikian juga ketika dia ditimpa bala, titisan air mata tidak menjadikan dia berputus asa malah  tidak pernah lepas hatinya daripada mengingati Allah dengan memohon bantuan demi bantuan untuk melepaskan dirinya daripada kesulitan hidup itu dan mengekalkan kehidupannya dalam afiat.

Orang-orang yang bersyukur amat mengerti akan keadaan dirinya ketika susah dan senang dan ketika menerima anugerah atau musibah.

Ahad, 3 April 2011

ATURKAN PEMAKANAN KAMU DENGAN BAIK


ATURKAN PEMAKANAN KAMU DENGAN BAIK

Menurut al-Sayuti, " keseimbangan sangat perlu semasa pengambilan sesuatu makanan. Sebagai contohnya, makanan yang panas perlu diimbangi dengan makanan yang sejuk. Makanan yang manis perlu diimbangi dengan makanan yang masam dan makanan yang boleh mengecutkan tisu dan saluran darah (astringent) perlu diimbangi dengan makanan yang berlemak. Kajian mendapati makanan yang terlalu masam boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan lebih cepat tua.
Makanan itu dikatakan panas dan sejuk bukan bermaksud panas dan sejuk pada rasa tetapi merujuk kepada nilai kalori yang terdapat di dalam makanan itu.Makanan panas merangsang metabolism berlaku sementara makanan sejuk pula menurunkan metabolism. Sebagai contohnya seseorang memakan kari (panas). Biasanya dia akan meminum air yang banyak. Tetapi ini tidak dapat mengatasi kepanasan kerana air dalam sistem ini adalah neutral. Untuk itu, orang tersebut memerlukan hidangan timun atau dadih iaitu makanan yang mempunyai kesan sejuk yang tinggi.
Menurut Busr as-Sulami, Rasulullah s.a.w. suka makan krim 9kepala susu) dengan kurma. Sekiranya diteliti, di dalam krim terdapat minyak yang bersifat meruwap. Ini diimbangi dengan gula yang terdapat di dalam kurma. Berasaskan kepada ilmu sains dari segi tindakbalas kimia, gula merupakan sumber tenaga yang baik dan gula yang terdapat di dalam kurma adalah gula jenis ringkas yang mudah digunakan untuk memberi tenaga. Tenaga yang diperoleh daripada gula ini akan digunakan untuk membakar minyak yang terdapat pada krim.
Selain itu, Abdullah bin Jaafar dalam satu hadis menyebut, " Saya lihat Rasulullah s.a.w. memakan mentimun bersama-sama kurma setengah matang."
Jika diteliti, makanan yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. ketika itu bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan. Mentimun boleh menghilangkan dahaga dan menyegarkan. Di samping itu, mengurangkan panas perut. Sebaliknya kurma setengah matang mempunyai khasiat memperkuatkan perut yang dingin dan kaku serta menimbulkan rasa haus kerana ia dikategori sebagai makanan yang panas.
Seterusnya ada makanan-makanan yang ditegah mencampurkannya. Menurut mazhar H.S. (The General principles of Avicena's) Antaranya ialah mencampurkan makanan yang masam atau ikan dengan susu. Ini boleh mengakibatkan pelbagai penyakikit kronik seperti kusta. Ditegah juga mencampurkan dadih dengan lobak putih atau lobak merah. Ini diikuti dengan larangan mencampurkan daging burung dengan tepung barli yang dipanggang dengan susu dan beras. Larangan ini berkaitan dengan proses penghadaman.
Di Malaysia, makanan sejuk dan panas ini diamalkan sejak dahulu lagi. Bagi ibu yang mengandung, mereka ditegah memakan ikan sembilang kerana ikan sembilang dikatakan berbisa dan boleh menyebabkan muntah dan sakit perut. Manakala pisang, nangka, ubi kayu dan kacang panjang digolongkan sebagai makanan berangin dan menyebabkan sakit perut. Cili, tonik, ubat, daging lembu digolongkan sebagai makanan panas dan boleh menyebabkan pening. Nenas, tapai, mangga dan limau nipis pula dikelaskan kepada makanan yang berbisa dan tajam. Ia boleh menyebabkan keguguran. Seterusnya timun, kubis dan tembikai digolongkan sebagai makanan yang sejuk dan menyebabkan badan berasa tidak selesa.
Bagi ibu yang bersalin, sayuran, ais, kelapa, pisang, betik dan nasi sejuk digolongkan sebagai makanan sejuk dan menyebabkan peredaran darah tidak sempurna. Buah mangga, limau nipis, nenas dan asam jawa digolongkan sebagai makanan berbisa dan boleh menyebabkan turun darah dan sakit kepala. Manakala sayur-sayuran dan buah-buahan digolong sebagai makanan yang tinggi kandungan air dan boleh mencegah pemulihan rahim.
Bagi ibu yang menyusukan bayi, makanan laut seperti udang, kerang dan sotong, ikan keli dan ikan sepat digolongkan sebagai makanan yang gatal dan boleh menyebabkan gatal-gatal kepada bayi. Pisang, betik, timun dan kubis digolongkan sebagai makanan yang sejuk dan boleh menyebabkan bayi sakit perut. Selain itu, nangka, ubi kayu dan labu digolongkan sebagai makanan berangin dan boleh menyebabkan bayi sakit perut. Buah oren, tapai, nanas dan mangga dikelaskan sebagai makanan tajam dan boleh menyebabkan bayi cirit- birit. Sementara cili, rempah, halia dan lada hitam digolongkan sebagai makanan yang panas dan menyebabkan bayi cirit-birit.