Ahad, 8 Januari 2017

PERJALANAN ITU MASIH JAUH



Sahabat… perjalanan ini masih jauh.  Masih panjang laluan untuk sampai ke Syurga Allah.  Buatlah kebajikan sebanyaknya selagi ada peluang dan ruang.  Itu saja bekalan untuk melalui perjalanan yang panjang ini.  Sesudah kehidupan ini ada kematian dan sesudah itu ada perjalanan yang perlu diselesaikan.  Apakah kita ketemu di alam sana, semua bergantung kepada belas ihsan Allah; dan sedikit bekalan yang diterima di sisi-Nya.

Mahu tidak mahu, kita akan melalui proses terdekat dalam perjalanan yang masih jauh itu.  Itulah kematian. Daripada  sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut ruh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada AllahS.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut ruh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini.  Tangan ini telah mengeluarkan sedekah,tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut ruh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini  kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut,mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut mencuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian AllahS.W.T. berfirman yang bermaksud:"Wahai malaikat-Ku, tulis Asma-Ku di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri ruh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah ruh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Ketika itu sahabat…  .  Lihatlah pada sekujur tubuhmu, saudaraku ketika ruhmu itu bergerak  meninggalkan dunia ini. Jasadmu yang tadinya panas semakin menyejuk.  Kulitmu yang kemerahan tadinya semakin pucat dan lebam.  Bersegera kaum kerabatmu  mendekati  jasadmu yang  semakin  sejuk  dan  kaku itu.  Mereka memejamkan  kedua-dua matamu   sambil  membaca doa ' Innalillahi wainna ilaihirroji'un '.   Najismu yang terkincit oleh kesakitan menahan sakratulmaut dibersihkan dan  kau dipakaikan  pakaian  yang bersih lalu diletakkan dipembaringan  yang sedikit tinggi.  Kakimu dihadapkan ke kiblat. Dagumu diikat  ke kepalamu lalu tanganmu disilang  seperti silangan  orang yang bersolat.  Seluruh badanmu ditutupi selimut dan kini  untuk seketika, jasad kau dipamerkan  di situ  sebelum tindakan memandi ,  mengkafankan .  Setelah itu jasadmu disembahyangkan   dan saudara-maramu beramai-ramai menghantar jasad itu ke kuburan lalu menanamkan jasadmu dalam liang lahat yang sempit.


 Sahabat… . Iringilah perjalanan itu dengan sekelian amal kebajikan yang dilakukan sewaktu hayat ini.   Masih belum terlambat     untuk membuat persiapan.  Allah masih lagi memberi nyawa, nafas dan kekuatan  untuk bergerak kepada kebaikan.