Selasa, 17 Mac 2015

DOA BUAT MUHAMAD ISYRAF EILMY (Ulangtahun ke-2 kelahiran )


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih.

Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, semulia-mulia nabi dan rasul dan ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda semuanya
.
Ya Allah, bahawa sesungguhnya kami mohon pemeliharaan-Mu dan penjagaan-Mu terhadap Muhamad Isyraf Eilmy dalam urusan agama kami, keimanan kami, diri kami, ahli-ahli keluarga kami, anak-anak kami, harta-benda kami, negeri kami dan kediaman kami serta segala sesuatu yang Engkau telah kurniakan kepada kami.

Ya Allah, mohon jadikan kami dan segala yang telah kami sebutkan tadi di dalam kawalan-Mu, di dalam keamanan-Mu, di dalam dampingan-Mu dan di dalam lindungan-Mu daripada syaitan yang derhaka lagi degil itu dan daripada bencana ain (tikaman pandangan mata yang merbahaya) dan daripada yang mempunyai kezaliman serta daripada kejahatan tiap-tiap yang mempunyai kejahatan. Bahawa sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah, mohon teguhkan Muhamad Isyraf Eilmy dengan ketakwaan dan kekuatan pendirian di jalan yang lurus dan mohon lindungi kami daripada yang membawa kepada penyesalan di dunia dan di akhirat bahawa sesungguhnya Engkau adalah Maha memperkenankan segala doa. Ya Allah, perbaikilah hasil urusan kami dan jauhkanlah kami dari kehinaan dunia dan azab akhirat.

Ya Allah, bantulah, panjangkanlah umur, berikanlah petunjuk serta peliharakanlah dia daripada perkara yang haram dan bentuklah dia dengan perkembangan yang sihat dan suburkanlah ia dengan kehidupan yang baik dan berikan padanya petunjuk dan ketaqwaan di dunia dan akhirat. Ya Allah, perbaikilah dirinya dan akhlaknya, hiasilah jiwanya dengan cahaya keimanan dan penuhi hatinya dengan ketaqwaan serta berpendirian teguh. Dan jadikan dia seorang yang berbakti kepada kedua ibu bapanya bukan seorang yang derhaka terhadap keduanya, dan jadikannya dari kalangan orang-orang yang salih. Dan hindari ia dari orang-orang yang berhasad dengki.

Ya Allah berikan pada jiwa-jiwa Muhamad Isyraf Eilmy ketaqwaan kepada-Mu dan sucikannya, Engkaulah sebaik-baik Zat Yang Menyucikan jiwa. Engkaulah Pelindung dan Penolongnya,, Wahai Tuhan Pencipta dan Pentadbir sekalian alam.
Ya Allah, kami memohon kepadaMu kebaikan dan jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang baik, dan Engkau berurusanlah dengan kami seperti Engkau berurusan dengan orang-orang yang baik, dan Engkau peliharalah kami dan Muhamad Isyraf Eilmy daripada segala keburukan, ujian, fitnah dan kemudharatan. Ya Allah berkatilah bagi kami pendengaran kami, penglihatan kami, hati-hati kami, isteri-isteri kami, zuriat keturunan kami, dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkau penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Wahai Tuhan kami, ilhamkan kami supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan pada kami dan kepada kedua ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai. Dan masukkan kami dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan orang-orang yang salih. Ya Tuhan kami kurniakanlah kami daripada isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami yang menyenangkan hati kami melihatnya dan jadikanlah kami sebagai ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Wahai Tuhan, jadikan Muhamad Isyraf Eilmy orang yang mendirikan sembahyang dan demikian juga zuriat keturunannya. Wahai Tuhan kami perkenankanlah doa kami. Wahai Tuhan kami, berilah ampun baginya dan bagi kedua ibubapanya serta bagi orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

Ya Tuhan kami, mohon kurniakan kepada kami kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat dan mohon selamatkan kami daripada azab api neraka.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad serta kepada ahli keluarga dan para sahabat baginda. Segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam.

CATATAN FIKIRAN AYAHANDA



Anakku ' Aisyah Syahirah tiba-tiba mengirimkan sekeping gambar. Ya, itu sejumlah novel bapa disusun di perpustakaan. Aku tahu dia terasa teruja dengan kehadiran novel bapa di rak itu.

Sebenarnya bukan setakat itu sahaja barisan karya bapa. Ada lebih 30 buah karya lain yang sudah dihadamkan isinya oleh khalayak pembaca. Bapa telah menulis sejak tahun 1986. Sudah lama. Sudah menjangkau lebih suku abad. Dan sekarang bapa masih menulis. Semalas-malas bapa akan mencatat di wall FB ini untuk renungan diri. Serajin-rajinnya bapa akan menyengkang mata ke tengah malam atau bangun awal pagi untuk menyudahkan karya. Tidak pernah bapa jemu dan penat untuk mencurahkan fikiran walaupun dari segi perolehan kewangan dan anugerahnya tidak seberapa.

Bapa berfikiran menulis itu mencambahkan kebijaksanaan dan kesolehan bukan untuk diri bapa sahaja tetapi untuk kehidupan khalayak pembaca juga.

Bapa akan terus menulis selagi upaya dalam kewarasan akal. Tatapilah karya bapa itu nanti. Itulah setakat daya keintelektualan bapamu

TERUSKAN PERJUANGAN HIDUP DENGAN USAHA SEGIGIHNYA


Anak-anak melihat jauh ke hadapan. Merenung tajam sasaran dan mata membelingas sedetik ke kiri kanan meninjau kekangan. Namun dalam apa jua pergerakan, teruslah ke hadapan kerena di sana ada sasaran yang hendak ditakluki.

Kehidupan menjadi sangat bermakna apabila seseorang itu menjadikan usahanya sebagai langkah pertama menuju kejayaan. Dalam berusaha, tidak pernah dia terfikir untuk menangguh atau berhenti atau berpuas hati atas pencapaian masa lalunya. Nun di sana ada sasaran tertentu yang hendak dicapainya dan tak termampu untuk terus dicapainya kejayaan itu melainkan dengan cara berusaha dan terus berusaha segigihnya.

Orang yang berjaya itu mampu menceritakan segala pengalamannya sementara orang yang gagal tidak berani menyebut sasaran yang hendak dicapainya.