Ahad, 10 Ogos 2014

AMALAN MEMBASUH KAKI MEMASUKI MASJID


Berbuka puasa di padang dan bersolat Maghrib di masjid berhampiran dah jadi trend masyarakat. Bagus cara itu. Namun kesan negatif yang saya lihat ialah kebersihan masjid sedikit terjejas. Tempat wuduk dan tandas nampak jelas sangat kotor, hitam oleh kesan tanah dan debu. Terdapat juga kesan-kesan kehitaman bertompok-tompok di karpet masjid.

Zaman-zaman awal 80an, saya ketemu tempayan besar diletakkan di tepi tangga masjid. Dalam tempayan itu diisi air untuk kegunaan membasuh kaki. Tempayan itu kemudiannya ditukar kepada kolah kecil. Apabila sistem paip air diperkenalkan secara meluas, paip air dipasang di kaki tangga masjid. Kolah air sedia ada ditanam bunga.

Di Aceh , saya menemui sisem saliran air diwujudkan di kaki tangga masjid untuk para jemaah membersihkan kaki mereka sebelum mereka masuk ke masjid. Nampaknya cara ini sangat berkesan menjaga kebersihan masjid. Masjid-masjid di Bukit Tinggi, Indonesia menggunakan air aliran terus dari gunung dan disalirkan berhampiran tangga masuk.

Masjid-masjid yang baru dibina di Malaysia saya lihat bagaikan mengabaikan aspek penyediaan air membasuh kaki ini. Kalau nak basuk kaki, pergilah ke tempat berwuduk atau tandas. Maka perjalanan ke tandas dan tempat wuduk itu menempuh beranda masjid. Bagi yang sudah berwuduk dan ada palitan lumpur atau debu di kaki, terus juga dia masuk. Bertambah kotor masjid.

Orang awam selalu menyalahkan pegawai masjid atau AJK masjid kerana masjid kotor. Jarang sekali mereka menyalahkan diri sendiri kerana gagal membawa tubuh mereka yang bersih ke dalam masjid

MALANG USAH DIPINTA

Isu kemalangan maut menjelang musim perayaan sudah menjadi pengetahuan umum. Namun setiap kali musim perayaan, statistic kemalangan maut sentiasa wujud. Kecuaian pemandu sendiri dan antara punca kemalangan maut pada musim perayaan . Ada pemandu yang memandu ketika mengantuk, memandu ketika mabuk, memandu ketika penat, tidak tahu mengawal kemarahan, hendak cepat sampai ke destinasi dan memandu sambil bermesra-mesra dengan pasangan semasa memandu.

Jika hendak dibentang statistik kemalangan maut ini memang mengerikan. Alangkah sia-sia nyawa melayang di jalan raya. Namun itu takdir yang tak dapat ditolak. Menurut statistik Ops Sikap ke-19 pada 2009, jumlah kemalangan adalah sebanyak 14,618 kes dengan jumlah kemalangan maut sebanyak 198 kes yang melibatkan kematian seramai 212 orang berbanding Ops Sikap ke-21 pada 2010, jumlah kemalangan adalah sebanyak 14,183 kes, iaitu penurunan sebanyak 435 kes dengan jumlah kemalangan maut sebanyak 179 kes, menunjukkan pengurangan 19 kes berbanding tahun 2009. Dalam statistik Ops Selamat tahun 2012, 17,937 kemalangan dilaporkan, berbanding 19,606 pada 2011. Ia melibatkan 243 kes kemalangan maut pada 2012, berbanding 289 kes pada 2011.

Rancang perjalanan anda. Jika anda berasa letih, mengantuk, di bawah pengaruh alkohol atau berada dalam keadaan yang tidak tenteram, tangguhkan perjalanan anda.
1. Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.

2. Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki

3. Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong. Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.

4. Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.

5. Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.

6. Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan sahaja biadab tetapi membahayakan semua pengguna.

7. Pastikan kenderaan diselenggara dan diperiksa sebelum perjalanan jauh.

BERADAB SOPAN DI HADAPAN GURUMU



Untuk memperoleh ilmu yang diberkati, beradap sopanlah di hadapan gurumu. Dia gurumu yang memberi jalan petunjuk untuk kebaikan hidupmu. Tokoh ilmuan dan ulama besar dalam urusan men
cari ilmu sangat prihatin menjaga adab kesopanan di hadapan guru mereka demi mengharapkan ilmu yang diperoleh penuh keberkatan.

Mughirah berkata “ Kami menghormati Ibrahim an-Nakha‘ie sepertimana kami menghormati raja.”

Imam Asy-Syafi‘e pula berkata, “ Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut).”

Rabie‘ berkata,” Demi Allah aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Asy-Syafi‘e memandang kepadaku”.

Sayyidina Ali Karramallahu wajhah berkata,” Antara hak seorang alim ke atasmu ialah memberi salam ke atas orang ramai secara umum dan mengkhususkan gurumu dengan penghormatan yang khusus dan istimewa.”

Sifat merendah diri sangat utama ketika berhadapan dengan gurumu. Usah sekali-kali meninggalkan majlisnya tanpa urusan yang lebih penting daripada pencarian ilmu. Dan ketika ingin meninggalkan majlisnya, pastikan gurumu meredai akan tujuanmu meninggalkan majlis ilmunya. Imam Asy-Syafi‘e misalnya, sejak pertemuannya dengan gurunya iaitu Imam Malik pada tahun 170 Hijrah, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya sehingga gurunya itu wafat pada tahun 179 Hijrah. Ini kerana Imam Asy-Syafi‘e tidak pernah meninggalkannya kecuali ketika pergi ke Makkah untuk menjenguk ibunya ataupun pergi ke pusat ilmu dan feqh. Itu pun setelah beroleh keizinan serta restu daripada gurunya. Jika direstui, Imam Malik akan menyiapkan bekal dan memberikannya wang perbelanjaan sambil mendoakan keselamatannya.

Dalam menghadiri majlis ilmu gurumu, pastikan dirimu dalam keadaan yang bersih dan kemas. Imam Malik sepanjang hidupnya, membiasakan mandi dengan baik dan teratur, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian terbaik setiap kali ia menghadiri halaqah untuk belajar ataupun mengajar.

Hendaklah semasa menghadiri majlis ilmu itu kosongkanlah hatimu daripada segala urusan di samping mensucikan mindamu serta fikiranmu. Elakkanlah menghadiri majlis ilmu dalam keadaan mengantuk atau marah atau lapar yang bersangatan ataupun dalam keadaan dahaga dan sebagainya supaya dada mereka dilapangkan untuk menerima pengajaran yang diberikan dan mampu mengingati apa yang telah guru perdengarkan kepada mereka.

Ketika sedang belajar, sentiasa menunjukkan adab terhadap kawan-kawan sekelas dan sesiapa sahaja yang menghadiri majlis ilmu atau kelas guru mereka itu. Hal ini merupakan sikap sopan terhadap guru dan pemeliharaan terhadap majlis ilmu ataupun kelasnya.

Apabila duduk di hadapan gurumu ketika belajar, duduklah dengan penuh tawadhu‘, khusyu‘ dan tenang. Pandanglah guru itu ketika dia bercakap dengan penuh perhatian dan memikirkan secara mendalam akan kata-katanya dan tidak memandang ke arah lain tanpa keperluan, begitu juga tidak bermain-main dengan tangan, kaki atau anggota-anggota yang lain ataupun bermain-main dengan pen, pakaian serta lain-lain perbuatan yang boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap ajaran gurumu.

Pengarang kitab Al-Fawaid Al-Makiyyah iaitu As-Sayyid ‘Alawi berkata,” Antara adab pelajar itu ialah tidak lupa mendoakan gurumu setiap masa sepertimana dia tidak lupa untuk mendoakan ibu bapanya dan berbuat baik kepadanya sepertimana dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.


Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Aku tidak pernah lupa mendoakan Imam Asy-Syafi‘e ketika bersembahyang semenjak empat puluh tahun lalu. Kerana banyaknya doa Imam Ahmad bin Hanbal untuk Imam Asy-Syafi‘e ini, anaknya bertanya kepadanya: Siapakah dia Asy-Syafi‘e ini sehingga engkau pohonkan segala doa-doa ini untuknya!? Imam Ahmad pun menjawab: Anakku, Imam Asy-Syafi‘e umpama matahari bagi dunia ini dan merupakan kesejahteraan bagi seluruh umat manusia.

Khamis, 7 Ogos 2014

MEMAHAMI TABIAT BANGSA


Tidak mudah untuk seorang jurudakwah mendekati seseorang tanpa memahami tabiat sesuatu bangsa. Allah menjadikan bangsa-bangsa di atas muka bumi ini berbeda-beda. Maka jurudakwah perlu melihat jauh ke dalam jiwa masyarakat itu sebelum dakwahnya disampaikan untuk mengubati gejala penyakit kemasyarakatan.

Kemahiran memahami seni tabiat bangsa merupakan satu skill yang perlu ada dalam pemikiran dakwah. Pendakwah yang berdakwah ke sesuatu tempat tanpa melihat bangsa yang dihadapinya, maka dia seumpama burung tiung yang menutur. Tidaklah membawa guna apa-apa apa yang dituturkannya kepada khalayak pendengar . Setiap bangsa mempunyai kelebihan dan kekurangan dan saling berbeda tingkah laku, pekerti dan persepsi dalam pergaulan sesama manusia.

Allah berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu semua dari golongan lelaki dan wanita , dan kami juga jadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu dapat berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam Pengetahuannya.
[al-Hujurat: 13]

Bangsa Melayu dengan kelembutan jiwanya adalah sasaran dakwah berbentuk bujukan dan penjelasan. Dakwah dalam bentuk menghukum dan mengelompokkan jika diaplikasi dalam bangsa Melayu ini akan menimbulkan keresahan dan keserbasalahan sesama sendiri. Di dalam jiwa bangsa Melayu ini terpahat kukuh keinginan berhubung dan bergabung sesama mereka. Mereka adalah antara bangsa yang sangat mudah mengikut setiap ajaran dan sangat mudah juga melalaikan beramal segala ajaran yang dipelajari.

Dalam situasi sebegini, perlu dilahirkan seramainya jurudakwah yang bersedia mendekati segala bangsa dan memahami tabiat bangsa-bangsa.

PUASA ITU PENAWAR.



    
Tidak lama lagi umat Islam akan berpuasa.  Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel.
               Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, “Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu…” (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)
             Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It’s Good For The Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.
               Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions; November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)
               Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di University of Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, “Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat.” (Rujukan: Fasting for Health and as an Anti-Aging Strategy, www.healthy.net)