Selasa, 17 Januari 2012

MAAFKAN IBU BAPAMU




Kau seorang anak yang harus akur kepada kudrat kehidupan.  Janganlah berjauh hati dan berjauh diri dari ibu bapamu.    Ibu bapa adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kekurangan sehingga dalam tindak tanduk mereka, mungkin terdapat beberapa kekurangan yang mendukacita hatimu.

Mungkin sejak awal ibubapa tidak memberikan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya kepadamu. Maafkanlah mereka kerana hal ini  lazimnya berlaku disebabkan suasana kehidupan masa lalu yang amat sukar sehingga   memaksa mereka untuk bekerja keras dari kegelapan pagi hingga kegelapan malam semata-mata untuk menyediakan bumbung, makanan, pakaian dan pendidikan untukmu 

Mungkin sejak awal ibu bapa asyik bertengkar sehingga menyebabkan kamu mengambil sikap menyisihkan diri daripada mereka. Maafkanlah mereka kerana pertengkaran tersebut bukanlah sesuatu yang diingini oleh mereka akan tetapi berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor yang sukar untuk  dielakkan  oleh mereka disebabkan   tekanan hidupan yang bermacam ragam   rencam dan hambar.   

Mungkin sejak awal ibu bapa asyik menengking dan memukulmu sehingga menyebabkan kamu membenci mereka. Sekalipun hati berat untuk memaafkan perbuatan itu, maafkanlah mereka .  Menengking dan memukul bukanlah pilihan mereka akan tetapi lebih disebabkan oleh tekanan kehidupan yang menyebabkan mereka “melepaskannya” kepada anak-anak. Sudah tentu ini bukanlah satu tindakan yang baik. Akan tetapi mereka cuma manusia yang punyai pelbagai kelemahan.


Maafkan mereka kerana mereka adalah ibu bapa kamu.  Maafkan mereka kerana kamu  juga akan menjadi ibu bapa kepada anak-anak kamu.  Suatu masa nanti dugaan yang pernah dihadapi oleh ibu bapamu itu pasti  kamu hadapi dan pada waktu itu, pastikan anak-anakmu tidak menyisihkan diri daripada kamu. Tanamkan kemaafan itu sentiasa ada di  dalam hatimu dan berdoalah mohon keampunan dan keberkatan hidup untuk mereka.

 “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk  ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”
[Nuh 71:28]

UJIAN KEHIDUPAN




Bersyukur dihidupkan sebagai manusia.  Kehidupan yang lancar oleh rangsangan akal, nafsu dan kudrat ruh  menjadikan hidup sangat bermakna.  Namun dalam kehidupan yang rencam oleh dugaan ini, sulit untuk menerawang bebas lepas mengikut kata hati.
Demikian  surah al-Ankabut ayat 2-3 menyebut:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
Di dalam kehidupan, apabila kekuatan yang dipohon, Allah beri rintangan untuk dihadapi, Apabila kebijaksanaan yang dipohon, Allah beri masalah untuk diselesaikan, Apabila kasih Allah yang dipohon, Allah beri dugaan untuk dihadapi, dan setiap yang dipohon pasti diuji seupaya lebih dekat dengan-Nya
Meski ujian dan cubaan itu silih berganti, kehidupan mesti diteruskan dengan perkasa dan jaya.   Untuk apa berlengah-lengah dan berputus harap kerana itu bukan jalan untuk orang-orang yang beriman.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal  kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”
(Surah Al-Imran ayat 139)

Jumaat, 6 Januari 2012

PERIHAL MENYEMBUNYIKAN AIB ORANG LAIN




Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan yang buruk
dalam kalangan orang beriman, mereka  akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak
mengetahui (yang demikian)." (Surah al-Nur: 19)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang
menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan
akhirat kelak." (Hadis riwayat al-Bukhari).

 Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir (salah seorang sahabat Nabi) berkata: "Saya
pernah memberitahu Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak dan saya
akan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka datang menangkapnya. Lantas
Uqbah berkata: "Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu". Abu al-Haisam menjawab: "Saya
sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan
melaporkannya kepada pihak berkuasa."

Uqabah berkata lagi: "Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah bersabda yang
bermaksud:   “ Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak
yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i).

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang
lain, bererti kamu sudah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka
itu." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Wahai orang
yang telah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam
hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari-cari keaiban
mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula
keaibannya. Sesiapa yang telah dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan
mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh." (Hadis riwayat al-Tirmizi
dan Ibn Majah)

Menjelaskan mengenai perkara mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin
membahagikan manusia kepada dua golongan. Pertama, orang yang tidak pernah disebut
melakukan kejahatan atau kemungkaran.  Jika terdengar atau diketahui bahawa mereka
melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklahharus didedah atau diperkatakan. Jika tetap
diperkata atau didedahkan juga kemungkaran didengari itu maka ia menjadi ghibah (umpat)
yang hukumnya haram dan berat dosanya.

Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara
terang-terangan malah tidak mempedulikan sebarang nasihat yang diberikan dan tidak malu
dalam melakukan kejahatan secara terbuka.  Golongan ini harus didedahkan keaibannya
. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatanmereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap
mengumpat. Malah, ada kalanya wajib didedahkankejahatannya kepada orang ramai supaya
mereka sentiasa berwaspada dengan tingkahlakunya. Sebab jika didiamkan tentulah ia akan
bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah, sehingga membahayakan
masyarakat.

Menurut sesetengah ulama pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat
perkara iaitu keaiban berkaitan hak Allah, keaiban lampau yang tidak diketahui orang, keaiban
orang berkedudukan dalam masyarakat dan keaiban dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.