Sabtu, 31 Mac 2018

Bayu Dulu Tidak Menyapa


Di Pantai Cahaya Bulan (PCB), aku melabuh pandang menanti riak ombak dan larian anak-anak mengemudi wau. Mentari petang menunduk hormat bepergian jauh mendekati horizon. Wajah pengusaha gerai pucat hambar . Tiada kenderaan baru simpang perinang memeriahkan suasana. Pepasir pantai memujuk sabar. Selamat datang. Itu kufikir ucapan alam padaku, insan yang tidak ternama. Lalu bayu kembali ke teratak laut dan berdiam di situ melayan rajuk.

Ibu-ibu berteriak lantang mengerah perintah anak-anak mesti berada di rumah menjelang Maghrib untuk nanti mengulang Al Fatihah yang belum tepat tajwidnya. Seketika itu anak-anak bertebaran menyembunyikan resah di sebalik daun pintu.

Bayu dulu tidak menyapa sepanjang aku gundah menyepak pepasiran pantai. Kemesraan dulu adalah igauan cuma tersimpan di kamus rasa. Di gigi air, riak ombak tidak ghairah menyambut hadir, tidak jua menggigit rasa atau menyusun senda gurau yang menyemarak mesra.

Bayu dulu tidak menyapa. Tidak hadir menyongsong sekelumit bual berkisah. Dan aku akhirnya melontar salam beredar merangkul secubit kenangan.

PCB
17072017

Jumaat, 30 Mac 2018

Adik Kakak, Umur Itu Aset Akhiratmu



Pepagi Jumaat ini aku meleterimu lagi tentang umur yang diperoleh secara percuma daripada Pencipta itu. Ambillah sedikit waktu untuk diri menilai akan pengisian umur yang sentiasa berlalu itu. Umur itu menjadi sangat bermakna apabila dirasai akan perubahan kebaikan yang berlaku terhadap diri.

Kerana terkesan dengan masa serta kepentingannya Ibrahim bin Adham pernah menjawab ‘Umurku baru 10 tahun’ apabila ditanya berapakah umurnya. Terkejut orang yang bertanya. Bagaimana boleh jadi begitu, sudah tua lagi berjanggut tetapi mengaku baru berumur 10 tahun. Dengan hati yang rendah penuh keinsafan beliau menjawab, “Baru 10 tahun aku benar-benar berubah dan beramal dengan berkualiti”.
Demikian umur itu mengingat setiap diri akan tahap perubahan yang perlu dilakukan. Nabi s.a.w. mengingatkan tahap perubahan itu perlu dilangsungkan pada usia 40 tahun. “Apabila seseorang sudah mencapai usia 40 tahun, sekiranya kebaikannya tidak mengatasi keburukannya, syaitan mencium di antara kedua-dua matanya dan berkata, ‘Inilah manusia yang sangat malang’.

Dalam riwayat lain, Nabi bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa umurnya sudah melebihi 40 puluh tahun sedang kebaikannya tidak lebih banyak daripada kejelekannya, hendaklah ia mempersiapkan keberangkatannya ke neraka.’

Seorang alim apabila ditanya berapa umur, beliau menjawab, “Umurku 15 ribu hari. Lagi kaget yang bertanya. Kita biasanya mengingati umur bayi empat puluh hari, enam puluh hari dan sebagainya. Beliau sangat berkira saat-saat yang berlalu. Katanya aku ingat umurku dalam jumlah hari supaya aku dapat bermuhasabah. Sekiranya setiap hari satu kali berbuat dosa bayangkan kalau sudah 15 ribu hari. Kalau buat dosa setiap hari 5 minit bayangkan kalau sudah 15 ribu hari.

Orang yang cerewet dengan masa pasti akan memanfaatkan dan mengisinya dengan membaca, berfikir dan berzikir.
Demikian orang yang mengingati umur itu bukan miliknya. Maka dipersiapkan diri dengan segala bekalan. Orang sebegini akan mendapat keberkatan umur daripada Allah s.w.t. Selain itu, walaupun hayatnya tidak lama, sumbangan mereka akan kekal selamanya, namanya sentiasa disebut serta dijadikan rujukan, hujah dan dalil. Sebagai contoh Imam Syafie, yang meninggal pada usia 50-an. Imam Ghazali dalam juga lingkungan sama manakala Imam Nawawi pula pada usia 43 tahun. Mereka meninggalkan khazanah ilmu dengan warisan kitab yang membina bukan sahaja kepada tamadun manusia

Allahuma Ya Allah. Panjangkan usiaku, usia adik kakakku agar kami sering ingat akan berbuat kebaikan di atas muka bumi ini sebagaimana diperingatkan Allah,” Dan belanjakanlah (infaqkanlah) sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?” (QS, 63:10)

BERJALAN KE TEMPAT ORANG


Bukan selalu berjalan-jalan ke tempat orang, melihat pandangan, merasai kepelbagaian dan menaut silaturrahim. Sesekali keluar dari lingkungan, banyak kebimbangan, segarit keresahan mencuit pintu rasa; meski pautan mengukuh kekuasaan Pencipta menentu takdir.

Berjalan ke tempat orang membaharui ingatan,merapati kemesraan sesama waris berwarah terpisah. Betapa gumbira itu menampali kemas kuntuman wajah dan kemas salaman.

Tempoh berpetualang menginjak debu dari usang tapak berbekas. Menginjak kenangan mengukuh azam , menyimpul tekad dan menampal carit duka yang sekian menjemput cemas tiada sudah.

Ahad, 8 Januari 2017

PERJALANAN ITU MASIH JAUH



Sahabat… perjalanan ini masih jauh.  Masih panjang laluan untuk sampai ke Syurga Allah.  Buatlah kebajikan sebanyaknya selagi ada peluang dan ruang.  Itu saja bekalan untuk melalui perjalanan yang panjang ini.  Sesudah kehidupan ini ada kematian dan sesudah itu ada perjalanan yang perlu diselesaikan.  Apakah kita ketemu di alam sana, semua bergantung kepada belas ihsan Allah; dan sedikit bekalan yang diterima di sisi-Nya.

Mahu tidak mahu, kita akan melalui proses terdekat dalam perjalanan yang masih jauh itu.  Itulah kematian. Daripada  sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut ruh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada AllahS.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut ruh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini.  Tangan ini telah mengeluarkan sedekah,tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut ruh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini  kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut,mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut mencuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian AllahS.W.T. berfirman yang bermaksud:"Wahai malaikat-Ku, tulis Asma-Ku di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri ruh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah ruh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Ketika itu sahabat…  .  Lihatlah pada sekujur tubuhmu, saudaraku ketika ruhmu itu bergerak  meninggalkan dunia ini. Jasadmu yang tadinya panas semakin menyejuk.  Kulitmu yang kemerahan tadinya semakin pucat dan lebam.  Bersegera kaum kerabatmu  mendekati  jasadmu yang  semakin  sejuk  dan  kaku itu.  Mereka memejamkan  kedua-dua matamu   sambil  membaca doa ' Innalillahi wainna ilaihirroji'un '.   Najismu yang terkincit oleh kesakitan menahan sakratulmaut dibersihkan dan  kau dipakaikan  pakaian  yang bersih lalu diletakkan dipembaringan  yang sedikit tinggi.  Kakimu dihadapkan ke kiblat. Dagumu diikat  ke kepalamu lalu tanganmu disilang  seperti silangan  orang yang bersolat.  Seluruh badanmu ditutupi selimut dan kini  untuk seketika, jasad kau dipamerkan  di situ  sebelum tindakan memandi ,  mengkafankan .  Setelah itu jasadmu disembahyangkan   dan saudara-maramu beramai-ramai menghantar jasad itu ke kuburan lalu menanamkan jasadmu dalam liang lahat yang sempit.


 Sahabat… . Iringilah perjalanan itu dengan sekelian amal kebajikan yang dilakukan sewaktu hayat ini.   Masih belum terlambat     untuk membuat persiapan.  Allah masih lagi memberi nyawa, nafas dan kekuatan  untuk bergerak kepada kebaikan.

Khamis, 20 Ogos 2015

MARILAH MENDIDIK HATI MENCINTAI KEBAIKAN (Motivasi untuk diri sendiri)


Foto Hasanuddin Md Isa. Buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali. Berpada-pada itu adalah keadaan yang bersungguh-sungguh dan cermat. Arahkan fikiranmu kepada kebaikan kerana kebaikan itu akan menghapuskan dosa silammu, menjernihkan hati dan menyuburkan kecintaanmu kepada Allah. Berbuat sebanyakknya kebaikan kerana kebaikan itu melupakan kamu untuk berbuat jahat.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan keburukan, yang demikian itu adalah peringatan bagi orang orang yang ingat.
[Hud. 114]


Dalam sebuah hadis daripada Abu Zhar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Dan ikutilah keburukan itu dengan kebaikan kerana kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan". (H.R Ahmad dan Tarmizi, diriwayatkan juga oleh Hakim dan Tabrani dalam Al mu'jam As Saghir).

Penuhilah segala kewajiban yang sudah ditetapkan dalam agama dan tegakkan sunah Rasulullah s.a.w. dalam kehidupanmu. Tegakkan aqidah yang benar, ibadah yang sah. Laksanakan solat, puasa, wudhu' azan dan lain lain lagi. Pada semuanya itu terdapat penghapusan dosa.

Dalam kehidupanmu, perbanyakkan zikir dan bertaubat kepada Allah. Ingatlah bahawa zikir dan taubat itu salah satu jalan terhapusnya kesalahan dan bersihnya hati dari dosa. Zikir bererti menyebut Allah dengan bertahlil (Laa ilaha illah) bertasbih (Subhanallah) , bertahmid (Alhamdulillah) menyebut hauqalah (Lahaulawala khu watailabillah) menyebut hasbalah (Hasbiyallah) dan membaca basmalah (Bismillah hirrohma nirrohim) membaca Al-Quran dan membaca doa-doa yang ma’tsur iaitu membaca doa-doa yang warid yang diterima daripada Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam.

Bahkan zikir itu lebih luas, tiada terbatas kepada apa yang disebutkan di atas. Mengerjakan segala rupa ketaatan kepada Allah juga dipandang zikir. Majlis-majlis yang membincangkan atau memperkatakan soal-soal agama , soal halal-haram dan menceritakan kebesaran dan kehebatan Allah juga dianggap majlis zikir. Pendeknya sesuatu amalan yang matlamatnya mengingati Allah, adalah zikir.

Sabda Rasulullah Shallahu alaihi wassalam : Maksudnya: “ barangsiapa sentiasa memohon keampunan Allah jadikan daripada setiap kesusahan (baginya) kelapangan dan daripada setiap kesempitan (baginya) jalan keluar dan Allah beri rezeki kepadanya daripada jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)


Berzikirlah pada waktu malam lebih afdhal daripada berzikir di waktu siang kerana Allah telah mendahulukan perkataan malam daripada siang. “ Mereka bertasbih (beribadat) malam dan siang tidak berhenti-henti” [surah Al-Anbiya’ : 20]

Ibnu Hajar AI-Haitami ketika ditanya mana yang lebih afdhal; siang atau malam, AI-’Allamah itu menjawab: “Malam lebih afdhal (utama) kerana malam waktu istirehat. Istirehat itu sifat daripada syurga, sementara siang pula waktu memenatkan, ianya sifat daripada neraka. Keutamaan malam kerana adanya Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Kelebihan yang demikian itu tidak didapati di waktu siang. Keutamaan lain lagi ialah kerana telah diturunkan satu surah AI-Qur’an yang dinamakan “Surah AI-Lail” (Surah Malam).

Bersihkan hati-hatimu daripada bersangka buruk kepada sesama manusia. Di situ terbit sinar kehidupan yang indah bagimu. Perjalanan hidupmu senantiasa diiringi sahabat-sahabat yang ikhlas, hidupmu dilingkungi jira-jiran yang berakhlak dan masyarakatmu menuntun hidup di jalan hidayah Allah.

Berbuat baiklah mengikut apa yang diatur oleh Allah. Ikutlah keutamaan yang sudah disusun Allah. Allah pasti menyayangimu dan dirimu akan senantiasa dimuliakan manusia. 

Allah swt berfirman di dalam Q.S An Nisaa 4 : 36
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا [٤:٣٦]

Yang artinya berbunyi sebagai berikut , " Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri

Isnin, 10 Ogos 2015

USAH BERSEDIH MENGHADAPI HARI-HARI DEPANMU

Foto Hasanuddin Md Isa.
 Renunglah berkali-kali ke dalam dirimu. Renung sedalamnya sehingga terasa dirimu lemas untuk menghadapi kehidupan ini. Di hujung perenungan itu, nyata kamu tak punyai nilai apa-apa di sisi dunia yang lebih gagah. Kamu punya ibu. Ibu pasti meninggalkan kamu sesudah kematiannya. Kamu punyai bapa. Bapa juga akan meninggalkan kamu sesudah kematiannya. Demikian juga pada adik beradik, kekasih, kenalan, anak-anak, cucu cicit. Semuanya tidak akan kekal diam bersama-samamu. Kamu tidak punyai nilai apa-apa berbanding Allah yang mencipta segala sesuatu.
 
Jika kamu menyedari hakikat itu, pandanglah jauh-jauh ke horizon kehidupan. Pandang dan fikir apakah dapat kaulangkah garis-garis kehidupan yang payah ini. Tanamkan ke dalam hatimu bahawa kamu lebih gagah daripada alam yang membeku. Malah lebih gagah berbanding binatang yang hidup melata. Bergeraklah ke langkah pertama untuk meraih apa jua kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini.

Lihatlah masa hadapanmu. Meski masa hadapan adalah ghaib pada pandanganmu tetapi jelas pada pengetahuan. Kau dapat merangka kehidupan berasaskan bekalan yang kau raih. Jika kau pemegang sekeping sijil. Kau tahu di bidang mana patut kaulangkahkan kakimu di medan kehidupan ini. Demikian juga jika kaumiliki Ijazah, Sarjana atau Doktor Falsafah. Bekalan itu mampu menganjakmu lebih berjarak dengan rakan-rakanmu. Bersedih hati disebabkan sedikit kesilapan dan kecuaian untuk menghadapi masa hadapan akan mematikan kehendak dan membinasakan semangat
Jangan bersedih, sebab rasa sedih akan selalu mengganggumu dengan kenangan masa lalu yang memilukan hati, melukakan perasaan dan merosakkan kenyakinan. Kesedihan akan membuatmu khawatir dengan segala kemungkinan pada masa yang akan datang, dan kau akan mensia-siakan kesempatan pada hari ini.

Firman Allah:
” Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui,” (Surah Al-Baqarah: 216)

BILA MANA RAMADAN INI MEMBERI KEINSAFAN


Foto Hasanuddin Md Isa. Ramadan ini sahabat, marilah membuang tabiat pengambilan rokok kepada pemakanan yang sihat. Tentu sukar untuk beralih kepada sesuatu tabiat baru. Namun alangkah baiknya meinggalkan sesuatu yang buruk itu untuk selama-lamanya. 

Sebenarnya pengambilan rokok, mendedahkan diri kepada penyakit kronik. Banyak hal berhubung pengambilan dadah bermula dengan pengambilan rokok. Seorang perokok bolehlah diistilahkan sedang berusaha membunuh dirinya secara perlahan-lahan kerana rokok mengandungi bahan kimia berbahaya dalam penyediaannya.

Dalam setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.