Isnin, 20 Februari 2012

Jangan Lupa Menuntut llmu Pengetahuan Dalam Kehidupanmu




Dalam kehidupanmu,  ambillah sebahagian waktumu untuk menuntut ilmu.  Pohonlah kepada Allah agar ditambah ilmumu dari semasa ke semasa.  Demikian Allah memerintahkan hamba-Nya agar  memohon ditambahkan ilmu.
Allah Ta'ala berfirman:
"Dan katakanlah: "Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmuku." (Thaha: 114)

            Orang-orang yang diberikan ilmu itu nampak akan kebaikan dan kemudaratan yang bakal dihadapinya dalam kehidupan.  Dari Mu'awiyah r.a.,katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk memperoleh kebaikan,  maka  Allah membuat  ia  menjadi  pandai  dalam  hal keagamaan." (Muttafaq 'alaih)

            Orang-orang yang cinta untuk memperoleh ilmu akan senantiasa rindu kepada majlis-majlis ilmu.  Mereka ingin  menyebarkan ilmu itu untuk kebaikan keluarga mereka, kebaikan masyarakat mereka dan hal itu pasti akan membawa keamanan dan ketenteraman kepada  negara mereka.          Dari Sahl bin Sa'ad r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda kepada Ali r.a.:  "Demi Allah, niscayalah andaikata Allah memberikan petunjuk kepada seseorang lelaki dengan perantaraan usahamu, maka hal itu adalah lebih baik daripada unta-unta yang merah-merah," sebagai kiasan hartabenda yang paling dicintai oleh bangsa Arab. (Muttafaq 'alaih)

    Janganlah lupa menuntut ilmu pengetahuan dalam kehidupanmu kerana usaha menuntut ilmu pengetahuan itu adalah salah satu  kaedah memudahkan untuk seseorang menuju ke Syurga.  Dari Abuddarda' r.a., katanya: "Saya mendengar  Rasulullah s.a.w. bersabda:  "Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga, dan sesungguhnya para malaikat itu niscayalah meletakkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu itu, karena ridha sekali dengan apa yang dilakukan oleh orang itu. Sesungguhnya orang alim itu niscayalah dimohonkan pengampunan untuknya oleh semua penghuni di langit dan penghuni-penghuni di bumi, sampaipun ikan-ikan yu yang ada di dalam air.    Keutamaan  orang alim atas orang yang beribadat itu adalah seperti keutamaan bulan atas bintang-bintang yang lain. Sesungguhnya para alim ulama adalah pewarisnya para Nabi, se-sungguhnya para Nabi itu tidak mewariskan dinar ataupun dirham, hanyasanya mereka itu mewariskan ilmu. Maka barangsiapa dapat mengambil ilmu itu, maka ia telah mengambil dengan bagian yang banyak sekali." (Riwayat Abu Dawud dan Termidzi)
Orang yang berilmu  dan menyebarkan ilmu pengetahuannya member manfaat kepada  manusia di atas muka bumi dan memberi manfaat kepada kehidupannya di alam akhirat.
 Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
            "Apabila anak Adam - yakni manusia - meninggal dunia, maka putuslah amalannya - yakni tidak dapat menambah pahalanya lagi, melainkan dari tiga macam perkara, yaitu sedekah jariah atau ilmu yang dapat diambil kemanfaatannya atau anak yang shalih yang suka mendoakan untuknya." (Riwayat Muslim)

Khamis, 9 Februari 2012

Anak yang dibanggakan



Berbahagialah bagi pasangan yang dianugerah anak lantaran memiliki anak itu adalah pengajar erti tanggungjawab.   Didiklah anak itu di sampingmu kerana anak yang ditinggalkan ayah jarang yang tidak luka jiwanya sampai besar.
Hamka menasihat setiap pasangan akan pendidikan anak mereka dengan katanya ,”  Anak adalah untuk zaman yang akan datang,bukan untuk zaman kita.Salahlah pendidikan orang tua yang hendak memperbuat anaknya seperti mereka juga.”
Keutamaan dalam pendidikan anak-anak ini ialah pendidikan budi pekertinya. Peliharalah anak-anakmu dan perbaikilah budi pekerti mereka.Sesungguhnya anak-anak itu adalah hadiah Allah kepadamu.  Anak-anak yang dibangunkan pendidikan pekertinya akan menjadi harapan kepada orang tuanya.
Sewaktu kecil anak-anak lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya,kerana dia tumpuan harapan.  Maka setelah dia besar, dia menjadi kebanggaan kerana kejayaan hidupnya.
Anak itu penyambung amal ibu bapa.  Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara,sedekah jariah,ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak yang soleh mendoakannya.
Didiklah anak-anakmu dengan sesempurnanya

TEROKAILAH RUANG KEHIDUPAN

Jika kematian itu dapat ditentukan sendiri, maka tentu usaha itu terhenti di sini kerana kematian adalah pembebasan daripada tanggungjawab kehidupan di atas dunia ini. Namun kehidupan itu mesti diteruskan justeru kematian bukan penanda akhir usaha meraih kebaikan.

Tidak penting sama ada berapa lama kita hidup. Yang penting bagaimana keadaan kita semasa hidup. Adak...ah kehidupan kita dipenuhi kealpaan atau penuh dengan perancangan. Orang-orang yang merancang kehidupannya akan berpuas hati atas segala apa yang dicapai. Orang yang alpa akan terus tertinggal dalam sekelian bidang.

Memanglah setiap perancangan itu pasti menempuh beberapa kegagalan masa kini. Namun jika anda hilang segala-galanya, jangan lupa, kerana anda masih mempunyai masa depan yang masih panjang. Anda ada ruang dan peluang untuk mencipta sesuatu yang ingin anda tampilkan. Gagal selepas usaha adalah hikmahnya. Kegagalan itu adalah satu ilmu dan pasti anda akan mendapat sesuatu yang lebih besar daripada apa yang anda sangkakan.

Rabu, 8 Februari 2012

Menanda Aras Kualiti Diri Dalam Kehidupan




Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji.  Yang telah berlalu biarkan ia berlalu.  Yang mendatang hadapi dengan cemerlang.  Kehidupan mesti diteruskan  dengan memilih jalan yang benar dan tepat.
Saya percaya hari  esok sudah tidak boleh mengubah apa-apa  yang berlaku pada hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan bakal  terjadi pada hari esok.  Perancangan yang baik menghasilkan natijah yang baik dan demikian sebaliknya.
Dalam kehidupan, orang akan melihat kepada kemuliaan diri.  Orang yang mulia itu  jelas wataknya dan orang yang hina dan keji   itu juga jelas tingkah lakunya.   Khalifah Abdul Malik bin Marwan berkata, “ Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.”

Dalam  mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah dalam kehidupan, jadilah orang pemurah.  Orang-orang yang bakhil adalah orang yang mencintai dunia dan ingin terus kekal di atas dunia.  Alangkah ruginya sifat seperti itu kerana dunia itu bukan kekal tetapi pasti binasa jua.  Saidina Abu Bakar r.a. menasihati orang yang bakhil dengan katanya , “Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu: dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau ; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau ; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau ; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya.”

Hiduplah dengan satu cita-cita yang murni.   Orang yang mudah bersedih hati akan sukar mencapai apa yang dicita-citakan.  Orang yang mempunyai cita-cita selalu memperoleh kemajuan di dalam hidupnya. Cita-cita yang tinggi itu menyuburkan tabiat yang mulia. Tujuan yang besar dan mulia itu menimbulkan fikiran yang luas dan tinggi.

Bergaullah dengan manusia seramainya.  Ambillah kebaikan daripada mereka untuk membina kecemerlangan diri.  Setiap kali bertemu, pastikan ada sesuatu perubahan dapat dilestari dalam kehidupan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, tetapi tidak semua perpisahan akan menjanjikan akan adanya pertemuan semula sesudah perpisahan itu