Khamis, 20 Ogos 2015

MARILAH MENDIDIK HATI MENCINTAI KEBAIKAN (Motivasi untuk diri sendiri)


Foto Hasanuddin Md Isa. Buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali. Berpada-pada itu adalah keadaan yang bersungguh-sungguh dan cermat. Arahkan fikiranmu kepada kebaikan kerana kebaikan itu akan menghapuskan dosa silammu, menjernihkan hati dan menyuburkan kecintaanmu kepada Allah. Berbuat sebanyakknya kebaikan kerana kebaikan itu melupakan kamu untuk berbuat jahat.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan keburukan, yang demikian itu adalah peringatan bagi orang orang yang ingat.
[Hud. 114]


Dalam sebuah hadis daripada Abu Zhar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Dan ikutilah keburukan itu dengan kebaikan kerana kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan". (H.R Ahmad dan Tarmizi, diriwayatkan juga oleh Hakim dan Tabrani dalam Al mu'jam As Saghir).

Penuhilah segala kewajiban yang sudah ditetapkan dalam agama dan tegakkan sunah Rasulullah s.a.w. dalam kehidupanmu. Tegakkan aqidah yang benar, ibadah yang sah. Laksanakan solat, puasa, wudhu' azan dan lain lain lagi. Pada semuanya itu terdapat penghapusan dosa.

Dalam kehidupanmu, perbanyakkan zikir dan bertaubat kepada Allah. Ingatlah bahawa zikir dan taubat itu salah satu jalan terhapusnya kesalahan dan bersihnya hati dari dosa. Zikir bererti menyebut Allah dengan bertahlil (Laa ilaha illah) bertasbih (Subhanallah) , bertahmid (Alhamdulillah) menyebut hauqalah (Lahaulawala khu watailabillah) menyebut hasbalah (Hasbiyallah) dan membaca basmalah (Bismillah hirrohma nirrohim) membaca Al-Quran dan membaca doa-doa yang ma’tsur iaitu membaca doa-doa yang warid yang diterima daripada Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam.

Bahkan zikir itu lebih luas, tiada terbatas kepada apa yang disebutkan di atas. Mengerjakan segala rupa ketaatan kepada Allah juga dipandang zikir. Majlis-majlis yang membincangkan atau memperkatakan soal-soal agama , soal halal-haram dan menceritakan kebesaran dan kehebatan Allah juga dianggap majlis zikir. Pendeknya sesuatu amalan yang matlamatnya mengingati Allah, adalah zikir.

Sabda Rasulullah Shallahu alaihi wassalam : Maksudnya: “ barangsiapa sentiasa memohon keampunan Allah jadikan daripada setiap kesusahan (baginya) kelapangan dan daripada setiap kesempitan (baginya) jalan keluar dan Allah beri rezeki kepadanya daripada jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)


Berzikirlah pada waktu malam lebih afdhal daripada berzikir di waktu siang kerana Allah telah mendahulukan perkataan malam daripada siang. “ Mereka bertasbih (beribadat) malam dan siang tidak berhenti-henti” [surah Al-Anbiya’ : 20]

Ibnu Hajar AI-Haitami ketika ditanya mana yang lebih afdhal; siang atau malam, AI-’Allamah itu menjawab: “Malam lebih afdhal (utama) kerana malam waktu istirehat. Istirehat itu sifat daripada syurga, sementara siang pula waktu memenatkan, ianya sifat daripada neraka. Keutamaan malam kerana adanya Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Kelebihan yang demikian itu tidak didapati di waktu siang. Keutamaan lain lagi ialah kerana telah diturunkan satu surah AI-Qur’an yang dinamakan “Surah AI-Lail” (Surah Malam).

Bersihkan hati-hatimu daripada bersangka buruk kepada sesama manusia. Di situ terbit sinar kehidupan yang indah bagimu. Perjalanan hidupmu senantiasa diiringi sahabat-sahabat yang ikhlas, hidupmu dilingkungi jira-jiran yang berakhlak dan masyarakatmu menuntun hidup di jalan hidayah Allah.

Berbuat baiklah mengikut apa yang diatur oleh Allah. Ikutlah keutamaan yang sudah disusun Allah. Allah pasti menyayangimu dan dirimu akan senantiasa dimuliakan manusia. 

Allah swt berfirman di dalam Q.S An Nisaa 4 : 36
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا [٤:٣٦]

Yang artinya berbunyi sebagai berikut , " Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan