Jumaat, 30 Mac 2018

Adik Kakak, Umur Itu Aset Akhiratmu



Pepagi Jumaat ini aku meleterimu lagi tentang umur yang diperoleh secara percuma daripada Pencipta itu. Ambillah sedikit waktu untuk diri menilai akan pengisian umur yang sentiasa berlalu itu. Umur itu menjadi sangat bermakna apabila dirasai akan perubahan kebaikan yang berlaku terhadap diri.

Kerana terkesan dengan masa serta kepentingannya Ibrahim bin Adham pernah menjawab ‘Umurku baru 10 tahun’ apabila ditanya berapakah umurnya. Terkejut orang yang bertanya. Bagaimana boleh jadi begitu, sudah tua lagi berjanggut tetapi mengaku baru berumur 10 tahun. Dengan hati yang rendah penuh keinsafan beliau menjawab, “Baru 10 tahun aku benar-benar berubah dan beramal dengan berkualiti”.
Demikian umur itu mengingat setiap diri akan tahap perubahan yang perlu dilakukan. Nabi s.a.w. mengingatkan tahap perubahan itu perlu dilangsungkan pada usia 40 tahun. “Apabila seseorang sudah mencapai usia 40 tahun, sekiranya kebaikannya tidak mengatasi keburukannya, syaitan mencium di antara kedua-dua matanya dan berkata, ‘Inilah manusia yang sangat malang’.

Dalam riwayat lain, Nabi bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa umurnya sudah melebihi 40 puluh tahun sedang kebaikannya tidak lebih banyak daripada kejelekannya, hendaklah ia mempersiapkan keberangkatannya ke neraka.’

Seorang alim apabila ditanya berapa umur, beliau menjawab, “Umurku 15 ribu hari. Lagi kaget yang bertanya. Kita biasanya mengingati umur bayi empat puluh hari, enam puluh hari dan sebagainya. Beliau sangat berkira saat-saat yang berlalu. Katanya aku ingat umurku dalam jumlah hari supaya aku dapat bermuhasabah. Sekiranya setiap hari satu kali berbuat dosa bayangkan kalau sudah 15 ribu hari. Kalau buat dosa setiap hari 5 minit bayangkan kalau sudah 15 ribu hari.

Orang yang cerewet dengan masa pasti akan memanfaatkan dan mengisinya dengan membaca, berfikir dan berzikir.
Demikian orang yang mengingati umur itu bukan miliknya. Maka dipersiapkan diri dengan segala bekalan. Orang sebegini akan mendapat keberkatan umur daripada Allah s.w.t. Selain itu, walaupun hayatnya tidak lama, sumbangan mereka akan kekal selamanya, namanya sentiasa disebut serta dijadikan rujukan, hujah dan dalil. Sebagai contoh Imam Syafie, yang meninggal pada usia 50-an. Imam Ghazali dalam juga lingkungan sama manakala Imam Nawawi pula pada usia 43 tahun. Mereka meninggalkan khazanah ilmu dengan warisan kitab yang membina bukan sahaja kepada tamadun manusia

Allahuma Ya Allah. Panjangkan usiaku, usia adik kakakku agar kami sering ingat akan berbuat kebaikan di atas muka bumi ini sebagaimana diperingatkan Allah,” Dan belanjakanlah (infaqkanlah) sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?” (QS, 63:10)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan