Selasa, 15 November 2011

Masa Berlalu itu memang sudah berlalu

Masa hadapan adalah ghaib pada pandangan tetapi jelas pada pengetahuan. Bersedih hati untuk menghadapi masa hadapan akan mematikan kehendak dan membinasakan semangat.

Bagi orang yang waras, fail masa lalu sepatutnya dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoalkan. fail itu perlu ditutup untuk selama-lamanya dan dikurung dalam penjara kelupaan. Perkara yang sudah berlalu tetap berlalu.

Jangan biarkan kehidupan dihantui masa lalu. Biarlah masa lalu itu membina satu sejarah dan sejarah itu dijadikan batu sempadan dalam kehidupan. Lepaskan pengaruh masa lampau itu daripada membelenggu diri sehingga diri tidak mampu membuat satu apa pun perubahan. Sesungguhnya meratapi masa lalu dan meratapi kekecewaannya akan memundurkan semua cita-cita dan melemahkan seluruh semangat yang masih berbara.

Tak usah diungkit setiap kekecewaan yang berlaku pada masa lalu. Usah sia-siakan masa untuk bergerak dalam satu perjuangan masa kini. Ingatlah ungkapan yang sangat bermakna, " Hei..., jangan keluarkan mayat dari kuburan mereka." Hasrat ingin kembali kepada suasana masa lalu adalah hasrat daripada semangat kehidupan yang paling lemah . Masa lalu mempunyai cabaran yang berbeza dengan cabaran yang ada pada masa kini.

Anda harus berfikir untuk menegakkan kehidupan untuk hari ini. Hari ini hari anda. Anda idup berdenyut nadi menghadapi hari ini dan anda rasakan untuk sehari ini sahaja. Seolah-olah anda dilahirkan pada hari ini, berjuang bersungguh-sungguh pada hari ini dan mati pada hari ini. Catatkanlah pada hati sanubari anda bahawa hari ini adalah hari saya!

Dengan kerana itu, anda harus merasai bahawa inilah harinya anda masih berpeluang untuk berkata perkara yang baik-baik, menghindari bercakap yang kotor dan lucah, jijik dan cela dan anda merasakan inilah harinya anda mempamerkan sesuatu yang terbaik dan terblang yang mampu anda pamerkan.

Wahai masa yang sudah berlalu, tenggelamlah kamu seperti tenggelamnya matahari di ufuk Barat.

Wahai masa hadapan yang masih ghaib. Aku tidak bermain dalam khayalanku dan memperjudikan nasib atas satu andaian dan agakan. Aku tidak akan memburu sesuatu yang belum tentu ada.

Firman Allah,

Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah. Maka janganlah kamu minta disegerakan. (An-nahl:1)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan