Rabu, 8 Februari 2012

Menanda Aras Kualiti Diri Dalam Kehidupan




Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji.  Yang telah berlalu biarkan ia berlalu.  Yang mendatang hadapi dengan cemerlang.  Kehidupan mesti diteruskan  dengan memilih jalan yang benar dan tepat.
Saya percaya hari  esok sudah tidak boleh mengubah apa-apa  yang berlaku pada hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan bakal  terjadi pada hari esok.  Perancangan yang baik menghasilkan natijah yang baik dan demikian sebaliknya.
Dalam kehidupan, orang akan melihat kepada kemuliaan diri.  Orang yang mulia itu  jelas wataknya dan orang yang hina dan keji   itu juga jelas tingkah lakunya.   Khalifah Abdul Malik bin Marwan berkata, “ Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.”

Dalam  mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah dalam kehidupan, jadilah orang pemurah.  Orang-orang yang bakhil adalah orang yang mencintai dunia dan ingin terus kekal di atas dunia.  Alangkah ruginya sifat seperti itu kerana dunia itu bukan kekal tetapi pasti binasa jua.  Saidina Abu Bakar r.a. menasihati orang yang bakhil dengan katanya , “Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu: dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau ; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau ; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau ; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya.”

Hiduplah dengan satu cita-cita yang murni.   Orang yang mudah bersedih hati akan sukar mencapai apa yang dicita-citakan.  Orang yang mempunyai cita-cita selalu memperoleh kemajuan di dalam hidupnya. Cita-cita yang tinggi itu menyuburkan tabiat yang mulia. Tujuan yang besar dan mulia itu menimbulkan fikiran yang luas dan tinggi.

Bergaullah dengan manusia seramainya.  Ambillah kebaikan daripada mereka untuk membina kecemerlangan diri.  Setiap kali bertemu, pastikan ada sesuatu perubahan dapat dilestari dalam kehidupan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, tetapi tidak semua perpisahan akan menjanjikan akan adanya pertemuan semula sesudah perpisahan itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan