Isnin, 10 Ogos 2015

CINTA


Tidak ada sesuatu yang paling disukai oleh orang yang sedang jatuh cinta selain daripada mendengarkan ucapan atau mengingatkan perkataan tentang sesuatu yang dicintai kerana memang itulah yang dicarinya. Fikiran menjadi sangat fokus kepada yang dicintai. Mata lebih mampu menyampaikan daripada lidah pada ketika pandangan sedang bertatap secara berhadapan . Lidah penggerak ucap terkaku untuk berkata-kata pada saat hati merasai debar dan goncang.

Sesiapa yang mencintaii sesuatu atau seseorang, akan sentiasa mengingatinya dengan hati atau menyebutnya dengan lidah di sepanjang hidupnya. Tanda cinta sejati adalah mengingati dan menyebut nama orang yang dicintai ketika senang atau susah. Dia ingat dan menyebut diri orang yang dicintai dengan hati atau dengan lidah pada pertama kali bangun dari tidur dan berakhir kali saat menjelang tidur. Hal ini muncul dari dorongan yang kuat dalam jiwa orang yang jatuh cinta.

Pada saat cinta itu mengalir, dia menjadi sesabar-sabar manusia. Kesabaran di hadapan orang yang dicintai harus berubah menjadi ketaatan kepadanya. Ia dilakukan dengan sukarela, penuh tabah dan ingin membahagiakannya. Dia cuba menghindari diri dan tidak senang di hati. 

Kegilaan mencintai itu bertabrakan di seluruh ruang hatinya. Hatinya sentiasa ada tempat untuk mendengar dan memerhati segala ucapan dan perkataan yang diluahkan oleh yang dicintai. Berusaha untuk memahami dan mengertikan apa yang dibicara tanpa rasa lelah. Jika ada perhatian terhadap sesuatu yang lain, semuanya dirasakan kerana terpaksa. Tumpuan hati dan perasaannya hanya kepada yang dicintai. Walaupun yang dibicarakan sangat sedikit tetapi ia mengesan hati dan jiwanya. Selalu berusaha untuk mengingat dan tidak pernah lupa walaupun masa lama berlalu. 

Itulah sekelumit cinta yang menjadi fitrah kejadian manusia. Cinta yang diasuh mencintai manusia melebur menjadi fatamorghana apabila manusia itu binasa. Kerana itu, manusia dalam apa-pun keadaan perlu kembali mencintai Allah sebagai Penciptanya. Ketika dia mencintai Allah, Allah jauh mendalam mencintainya. Keadaan manusia yang dicintai Allah SWT lebih tinggi daripada keadaannya mencintai Allah SWT.
Oleh itu, tunduk kepada kehendak yang dicintai merupakan intisari cinta yang tinggi dan tidak berbelah bagi. Subhanallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan