PADUKA   AYAHANDA

Sebuah blog tulisan, ulasan, kritikan dan susun semula karya Hasanuddin Md Isa

Khamis, 20 Ogos 2015

MARILAH MENDIDIK HATI MENCINTAI KEBAIKAN (Motivasi untuk diri sendiri)


Foto Hasanuddin Md Isa. Buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali. Berpada-pada itu adalah keadaan yang bersungguh-sungguh dan cermat. Arahkan fikiranmu kepada kebaikan kerana kebaikan itu akan menghapuskan dosa silammu, menjernihkan hati dan menyuburkan kecintaanmu kepada Allah. Berbuat sebanyakknya kebaikan kerana kebaikan itu melupakan kamu untuk berbuat jahat.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan keburukan, yang demikian itu adalah peringatan bagi orang orang yang ingat.
[Hud. 114]


Dalam sebuah hadis daripada Abu Zhar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Dan ikutilah keburukan itu dengan kebaikan kerana kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan". (H.R Ahmad dan Tarmizi, diriwayatkan juga oleh Hakim dan Tabrani dalam Al mu'jam As Saghir).

Penuhilah segala kewajiban yang sudah ditetapkan dalam agama dan tegakkan sunah Rasulullah s.a.w. dalam kehidupanmu. Tegakkan aqidah yang benar, ibadah yang sah. Laksanakan solat, puasa, wudhu' azan dan lain lain lagi. Pada semuanya itu terdapat penghapusan dosa.

Dalam kehidupanmu, perbanyakkan zikir dan bertaubat kepada Allah. Ingatlah bahawa zikir dan taubat itu salah satu jalan terhapusnya kesalahan dan bersihnya hati dari dosa. Zikir bererti menyebut Allah dengan bertahlil (Laa ilaha illah) bertasbih (Subhanallah) , bertahmid (Alhamdulillah) menyebut hauqalah (Lahaulawala khu watailabillah) menyebut hasbalah (Hasbiyallah) dan membaca basmalah (Bismillah hirrohma nirrohim) membaca Al-Quran dan membaca doa-doa yang ma’tsur iaitu membaca doa-doa yang warid yang diterima daripada Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam.

Bahkan zikir itu lebih luas, tiada terbatas kepada apa yang disebutkan di atas. Mengerjakan segala rupa ketaatan kepada Allah juga dipandang zikir. Majlis-majlis yang membincangkan atau memperkatakan soal-soal agama , soal halal-haram dan menceritakan kebesaran dan kehebatan Allah juga dianggap majlis zikir. Pendeknya sesuatu amalan yang matlamatnya mengingati Allah, adalah zikir.

Sabda Rasulullah Shallahu alaihi wassalam : Maksudnya: “ barangsiapa sentiasa memohon keampunan Allah jadikan daripada setiap kesusahan (baginya) kelapangan dan daripada setiap kesempitan (baginya) jalan keluar dan Allah beri rezeki kepadanya daripada jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)


Berzikirlah pada waktu malam lebih afdhal daripada berzikir di waktu siang kerana Allah telah mendahulukan perkataan malam daripada siang. “ Mereka bertasbih (beribadat) malam dan siang tidak berhenti-henti” [surah Al-Anbiya’ : 20]

Ibnu Hajar AI-Haitami ketika ditanya mana yang lebih afdhal; siang atau malam, AI-’Allamah itu menjawab: “Malam lebih afdhal (utama) kerana malam waktu istirehat. Istirehat itu sifat daripada syurga, sementara siang pula waktu memenatkan, ianya sifat daripada neraka. Keutamaan malam kerana adanya Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Kelebihan yang demikian itu tidak didapati di waktu siang. Keutamaan lain lagi ialah kerana telah diturunkan satu surah AI-Qur’an yang dinamakan “Surah AI-Lail” (Surah Malam).

Bersihkan hati-hatimu daripada bersangka buruk kepada sesama manusia. Di situ terbit sinar kehidupan yang indah bagimu. Perjalanan hidupmu senantiasa diiringi sahabat-sahabat yang ikhlas, hidupmu dilingkungi jira-jiran yang berakhlak dan masyarakatmu menuntun hidup di jalan hidayah Allah.

Berbuat baiklah mengikut apa yang diatur oleh Allah. Ikutlah keutamaan yang sudah disusun Allah. Allah pasti menyayangimu dan dirimu akan senantiasa dimuliakan manusia. 

Allah swt berfirman di dalam Q.S An Nisaa 4 : 36
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا [٤:٣٦]

Yang artinya berbunyi sebagai berikut , " Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 6:10 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Isnin, 10 Ogos 2015

USAH BERSEDIH MENGHADAPI HARI-HARI DEPANMU

Foto Hasanuddin Md Isa.
 Renunglah berkali-kali ke dalam dirimu. Renung sedalamnya sehingga terasa dirimu lemas untuk menghadapi kehidupan ini. Di hujung perenungan itu, nyata kamu tak punyai nilai apa-apa di sisi dunia yang lebih gagah. Kamu punya ibu. Ibu pasti meninggalkan kamu sesudah kematiannya. Kamu punyai bapa. Bapa juga akan meninggalkan kamu sesudah kematiannya. Demikian juga pada adik beradik, kekasih, kenalan, anak-anak, cucu cicit. Semuanya tidak akan kekal diam bersama-samamu. Kamu tidak punyai nilai apa-apa berbanding Allah yang mencipta segala sesuatu.
 
Jika kamu menyedari hakikat itu, pandanglah jauh-jauh ke horizon kehidupan. Pandang dan fikir apakah dapat kaulangkah garis-garis kehidupan yang payah ini. Tanamkan ke dalam hatimu bahawa kamu lebih gagah daripada alam yang membeku. Malah lebih gagah berbanding binatang yang hidup melata. Bergeraklah ke langkah pertama untuk meraih apa jua kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini.

Lihatlah masa hadapanmu. Meski masa hadapan adalah ghaib pada pandanganmu tetapi jelas pada pengetahuan. Kau dapat merangka kehidupan berasaskan bekalan yang kau raih. Jika kau pemegang sekeping sijil. Kau tahu di bidang mana patut kaulangkahkan kakimu di medan kehidupan ini. Demikian juga jika kaumiliki Ijazah, Sarjana atau Doktor Falsafah. Bekalan itu mampu menganjakmu lebih berjarak dengan rakan-rakanmu. Bersedih hati disebabkan sedikit kesilapan dan kecuaian untuk menghadapi masa hadapan akan mematikan kehendak dan membinasakan semangat
Jangan bersedih, sebab rasa sedih akan selalu mengganggumu dengan kenangan masa lalu yang memilukan hati, melukakan perasaan dan merosakkan kenyakinan. Kesedihan akan membuatmu khawatir dengan segala kemungkinan pada masa yang akan datang, dan kau akan mensia-siakan kesempatan pada hari ini.

Firman Allah:
” Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui,” (Surah Al-Baqarah: 216)
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 8:21 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

BILA MANA RAMADAN INI MEMBERI KEINSAFAN


Foto Hasanuddin Md Isa. Ramadan ini sahabat, marilah membuang tabiat pengambilan rokok kepada pemakanan yang sihat. Tentu sukar untuk beralih kepada sesuatu tabiat baru. Namun alangkah baiknya meinggalkan sesuatu yang buruk itu untuk selama-lamanya. 

Sebenarnya pengambilan rokok, mendedahkan diri kepada penyakit kronik. Banyak hal berhubung pengambilan dadah bermula dengan pengambilan rokok. Seorang perokok bolehlah diistilahkan sedang berusaha membunuh dirinya secara perlahan-lahan kerana rokok mengandungi bahan kimia berbahaya dalam penyediaannya.

Dalam setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.


Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 8:09 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

BERPUASA DALAM KAJIAN YANG UNIVERSAL


Foto Hasanuddin Md Isa.
Orang-orang bukan Islam mengkaji kelebihan tampak berpuasa pada faedah yang bakal diperoleh. Antara kebaikan itu ialah meningkatkan kesihatan badan melalui proses detoksifikasi. Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Mengikut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. 

Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa untuk memperoleh ketenangan berfikir 

Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions; November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)

Berpuasa dalam bentuk menghindari makan minum dalam jangka masa yang pendek memang tidak memudaratkan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, “Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu…” (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969) 

Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It’s Good For The Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.
Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit.”

Walaupun begitu, elok saya katakan bahawa matlamat puasa adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan yang lain

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, moga kamu menjadi orang yang TAQWA." (Al Baqarah: 183)


Tafsiran oleh Imam Al Baghawi : “Maksudnya, mudah-mudahan kalian bertaqwa kerana sebab puasa. Kerana puasa adalah wasilah menuju taqwa. Sebab puasa dapat menundukkan nafsu dan mengalahkan syahwat. (Ma’alim At Tanziil, 1/196)


Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 8:07 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

BALIKLAH BERHARI RAYA KE RUMAH EMAK



Anak-anak emak yang tercinta

Emak gumbira kamu pulang berhari raya di rumah emak pada tahun ini. Berhati-hati sewaktu memandu kenderaan di jalan raya dan baliklah dengan tertib dan santun. Emak menunggumu dengan senyuman dan keriangan. Namun:

i. Emak bukan orang gaji yang kena sediakan juadah untuk kamu, isterimu, suamimu dan anak-anakmu. Ibu sediakan setakat upaya emak.

ii. Emak bukan orang gaji yang hendam mengemas tempat tidur baring kamu anak beranak.

iii. Rumah emak bukan padang permainan anak-anakmu untuk menyepah segala hiasan dan susunan yang sudah emak perelokkan.

iv. Emak bukan isteri perdana menteri yang ada simpanan berjuta untuk sponsor makanan raya kepada kamu anak beranak.

v. Emak bukan ada kedai dobi untuk membasuh segala cadar yang kamu anak beranak tinggalkan selepas berhari raya nanti. Cucilah dahulu semua itu sebelum beredar pergi.

vi. Rumah emak bukan dewan parlimen , saling memaki dan bergosip lalu berkecil hati.

vii. Rumah Emak juga bukan hotel. Walaupun kamu memberi emak sejumlah wang untuk keraian hari raya emak, ringan-ringankan diri kamu untuk bekerja di dapur.

viii.Jagalah aurat di rumah emak. Masa ini iapar duai yang bukan muhrim pun ada.

iv. Jagalah pergaulan antara anak-anak kamu semua dengan sepupu mereka. Ingatlah sepupu lelaki dan perempuan itu bukan mahram.


x. Akhirnya , rumah emak ini bukan studio gambar. Jadi jangan sibuk hendak merakam gambar family masing-masing pada pagi hari raya hingga lupa nak ziarah rumah kerabat dan jiran-jiran.
Emak minta maaf atas syarat yang diberikan. Emak sudah tua. Sudah kurang tenaga dan tidak berdaya. Emak sudah tidak mampu melayan semua keinginan dan hajat semua anak cucu. Menghabisi usia ini, emak cuma mahukan anak cucu emak hidup atas landasan kehidupan Islam yang sempurna.

Emak
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 7:55 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

JALAN ITU SUDAH DITUNJUK

 

 Hidup ini sangat singkat sahabat. Esok lusa entah kita pula dipanggil menghadap Ilahi. Lalu perkenalan kita terhenti pada saat itu. Perjalanan yang penuh ceria ini lalui dengan tabah dan jujur. Tentu laluan kehidupan itu melebar dan penuh ketenangan.

Namun jika sahabat merasakan jalan kehidupan itu sudah semakin sempit, kembalilah kepada Allah. Allah jua yang mengetahui hal yang ghaib. Dalam setiap detik yang ditemui dalam kehidupan, ucapkanlah ' Alhamdulillah ". Allah yang layak dipuji kerana ciptaannya maha sempurna. Kapal Titanic dibuat oleh ratusan orang. Sedangkan kapal Nabi Nuh dibuat oleh satu orang dengan petunjuk Allah. Namun kapal Titanic tenggelam sedangkan kapal Nabi Nuh belayar menyelamatkan sekelian manusia yang beriman. Dan makhluk Allah yang lain menumpang kehidupan di atas keimanan mereka.

Sedarlah kita bukan penduduk asli bumi. Asal nenek moyang kita dari Syurga. Di sana tempat tujuan kita. Itulah juga tempat asal orang tua kita, Adam dan Hawa. Lalu sebenarnya kita tinggal di sini untuk sementara, untuk diuji dalam kehidupan sebelum kembali menemui Ilahi. Oleh itu, berusahalah mengejar kafilah orang-orang soleh yang akan kembali ke tanah air yang sangat luas di akhirat sana. Janganlah berleka-leka di bumi ini dengan mencintai sepenuh hati segala harta bendamu, pangkat, anak pinak . Cintailah semua itu sepadan dengan tuntutan syarak.

Perpisahan antara kita pasti berlaku. Perpisahan itu bukanlah kerana jarak perjalanan yang jauh. Atau kerana ditinggalkan orang tercinta. Bahkan kematian pun bukan perpisahan sebab kita akan bertemu lagi di akhirat.

Perpisahan adalah ketika salah seorang di antara kita melangkahkan kami masuk ke Syurga dan yang seorang lagi melangkahkan kaki menuju ke Neraka Allah. Nau'zubullahimin dzalik.

Maafkan sahabat kerana saya menukil kata-kata yang mengguris rasa di hatimu.
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 7:36 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

BERHARAP


Tidak salah berharap bantu kepada kudrat makhluk yang lemah. Mereka jua ada sedikit kekuatan untuk disumbangkan. Tidak salah berharap untuk menerima kasih manusia. Mereka juga punya perasaan dan sifat mencintai. Tidak salah selagi segala pengharapan itu pada jalan kebaikan.

Namun apakah perlu meletak sepenuh harap pada manusia. Manusia yang diharapkan dan dicintai itu juga adalah makhluk Allah. Mereka juga hidup melata, daif dan tidak mampu menentu masa depannya walaupun untuk satu saat. Maka meletakkan seluruh harapan kepada makhluk yang melata, daif dan tidak mampu menentu masa depannya walaupun untuk satu saat tentu kesudahannya mendapat kehampaan dan ketidakpuasan.

Beralihlah kepada pengharapan kepada Allah. Itulah Pencipta yang memiliki segala kekuatan dan mampu mencorak segala bantuan dan cinta kasih. Berharap kepada-Nya bermaksud sedang berusaha mencapai sesuatu yang dihajati.
Foto Hasanuddin Md Isa.


Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 7:35 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

KERANA KITA HAMBA ALLAH


Kerana kita hamba Allah; usahlah bersedih atas perpisahan dengan manusia yang kita harapkan dapat menjadi rakan sahabat. Usah juga berasa hati atas setiap kata cerca dan sindiran tajam. Usah juga berduka-lara oleh janji yang dimungkiri. Kita cuma hamba Allah. Kerana itu kembalilah mendampingi Allah untuk memenuhi segala pengharapan.

A-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyantun hati-hati yang duka dengan katanya, “Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap Allah. Padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan Allah. Padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan denganNya. Padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepadaNya. Padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemu-Nya. Padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingati-Nya, keikhlasan yang benar kepada-Nya ”.

Kerana kita hamba Allah, bersyukur dihidupkan dalam cahaya petunjuk-Nya.
Foto Hasanuddin Md Isa.
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 7:33 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

ORANG BIJAKSANA ITU CERMINAN KELUHURAN


Orang yang bijaksana adalah orang yang dapat mengambil pelajaran dari (kesalahan) orang lain. Tidak ramai yang mampu melakukan begitu. Namun setiap orang senantiasa menyerap setiap pengajaran kebaikan itu ke dalam dirinya. 

Keupayaan untuk menjadikan kesalahan orang lain sebagai alat untuk melihat ke dalam diri sendiri dan melakukan muhasabah akan dapat mengelakkan daripada melakukan kesalahan yang sama , menghasilkan motivasi dalam diri dan rasa ‘izzah (mulia) imaniyah dan kemuliaan jiwa yang mendorong untuk menjauhkan diri daripada kesalahan orang yang menjerumuskan mereka ke dalam kehinaan di dunia dan akhirat. (Perlu rasa izzah iman atau mulia dengan jiwa kita yang tidak melakukan dosa) , meningkatkan kuantiti dan kualiti iman yang akan menghakis segala bisikan kotor dan hati yang mengajak kepada kesalahan dan dosa. (Meningkatkan iman dan menjauhi daripada mengikut bisikan-bisikan yang mengajak melakukan sesuatu yang tidak syarak)

Jadilah orang yang bijaksanaka kerana kebijaksanaan itu mampu membantu orang lain untuk menemukan diri mereka, membantu orang lain untuk menjadi lebih baik, membantu orang lain mengembangkan dirinya, bijak dalam bertutur, bijak dalam berfikir, bijak dalam bertindak. Tindakan orang bijaksana selalu sesuai dengan kebenaran. Apa yang ia ucapkan, apa yang ia pikirkan adalah kebaikan Ada cinta, ada kasih sayang, tidak ada dendam, tidak ada benci. Orang bijaksana tidak memaksa orang lain menerima pandangannya dan membiarkan orang lain menjadi diri mereka sendiri.
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 7:30 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

CINTA


Tidak ada sesuatu yang paling disukai oleh orang yang sedang jatuh cinta selain daripada mendengarkan ucapan atau mengingatkan perkataan tentang sesuatu yang dicintai kerana memang itulah yang dicarinya. Fikiran menjadi sangat fokus kepada yang dicintai. Mata lebih mampu menyampaikan daripada lidah pada ketika pandangan sedang bertatap secara berhadapan . Lidah penggerak ucap terkaku untuk berkata-kata pada saat hati merasai debar dan goncang.

Sesiapa yang mencintaii sesuatu atau seseorang, akan sentiasa mengingatinya dengan hati atau menyebutnya dengan lidah di sepanjang hidupnya. Tanda cinta sejati adalah mengingati dan menyebut nama orang yang dicintai ketika senang atau susah. Dia ingat dan menyebut diri orang yang dicintai dengan hati atau dengan lidah pada pertama kali bangun dari tidur dan berakhir kali saat menjelang tidur. Hal ini muncul dari dorongan yang kuat dalam jiwa orang yang jatuh cinta.

Pada saat cinta itu mengalir, dia menjadi sesabar-sabar manusia. Kesabaran di hadapan orang yang dicintai harus berubah menjadi ketaatan kepadanya. Ia dilakukan dengan sukarela, penuh tabah dan ingin membahagiakannya. Dia cuba menghindari diri dan tidak senang di hati. 

Kegilaan mencintai itu bertabrakan di seluruh ruang hatinya. Hatinya sentiasa ada tempat untuk mendengar dan memerhati segala ucapan dan perkataan yang diluahkan oleh yang dicintai. Berusaha untuk memahami dan mengertikan apa yang dibicara tanpa rasa lelah. Jika ada perhatian terhadap sesuatu yang lain, semuanya dirasakan kerana terpaksa. Tumpuan hati dan perasaannya hanya kepada yang dicintai. Walaupun yang dibicarakan sangat sedikit tetapi ia mengesan hati dan jiwanya. Selalu berusaha untuk mengingat dan tidak pernah lupa walaupun masa lama berlalu. 

Itulah sekelumit cinta yang menjadi fitrah kejadian manusia. Cinta yang diasuh mencintai manusia melebur menjadi fatamorghana apabila manusia itu binasa. Kerana itu, manusia dalam apa-pun keadaan perlu kembali mencintai Allah sebagai Penciptanya. Ketika dia mencintai Allah, Allah jauh mendalam mencintainya. Keadaan manusia yang dicintai Allah SWT lebih tinggi daripada keadaannya mencintai Allah SWT.
Oleh itu, tunduk kepada kehendak yang dicintai merupakan intisari cinta yang tinggi dan tidak berbelah bagi. Subhanallah.
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 1:50 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

RAHSIAKAN IBADAHMU



Allah telah sembunyikan segala aibmu, usah dibuka semula untuk tatapam manusia. Usah digandakan dosa dengan bercerita kemegahanmu melakukan dosa. Itu cuma menambah murka Allah padamu. Sembunyikan semua kebaikanmu pada manusia. Kebaikan itu tidak sebanyak mana berbanding kemurahan pemberian Allah kepadamu.

 Allah yang menutup maksiat itu dengan tiraiNya yang indah. Jangan disingkap tirai itu kerana ia adalah rahasia Allah. Sesungguhnya orang yang membuka aibnya itu samalah seperti melakukan dosa terang terangan. Dosa terang terangan itu lebih dimurkai Allah dari dosa sembunyi sembunyi.
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 1:46 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

BERBUAT KHIANAT



Mengambil sifat buruk itu amat mudah untuk pegangan hidup. Nafsu amarah meruntun diri. beramal dengan kepalsuan. Penghujugnya adalah kesulitan dan kesengsaraan. Siapakah yang sanggup mendampingi orang-orang yang menjadikan khianat, dendam, kebencian, bermegah diri, angkuh, riak, ujub, mengagungkan kebendaan?

Memanglah gembira itu diimbangi oleh duka, kegopohan timbang oleh kesabaran. Demikian juga pada cinta itu diimbangi kebencian. Namun titik keseimbangan itu bukan pada pertimbangannya akal semata-mata. Allah membekalkan iman untuk manusia meraih petunjuk-Nya. Segala sifat yang dijadikan Allah adalah fitrah. Fitrah manusia itu senantiasa inginkan kebaikan.
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 1:44 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Selasa, 17 Mac 2015

DOA BUAT MUHAMAD ISYRAF EILMY (Ulangtahun ke-2 kelahiran )


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih.

Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, semulia-mulia nabi dan rasul dan ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda semuanya
.
Ya Allah, bahawa sesungguhnya kami mohon pemeliharaan-Mu dan penjagaan-Mu terhadap Muhamad Isyraf Eilmy dalam urusan agama kami, keimanan kami, diri kami, ahli-ahli keluarga kami, anak-anak kami, harta-benda kami, negeri kami dan kediaman kami serta segala sesuatu yang Engkau telah kurniakan kepada kami.

Ya Allah, mohon jadikan kami dan segala yang telah kami sebutkan tadi di dalam kawalan-Mu, di dalam keamanan-Mu, di dalam dampingan-Mu dan di dalam lindungan-Mu daripada syaitan yang derhaka lagi degil itu dan daripada bencana ain (tikaman pandangan mata yang merbahaya) dan daripada yang mempunyai kezaliman serta daripada kejahatan tiap-tiap yang mempunyai kejahatan. Bahawa sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah, mohon teguhkan Muhamad Isyraf Eilmy dengan ketakwaan dan kekuatan pendirian di jalan yang lurus dan mohon lindungi kami daripada yang membawa kepada penyesalan di dunia dan di akhirat bahawa sesungguhnya Engkau adalah Maha memperkenankan segala doa. Ya Allah, perbaikilah hasil urusan kami dan jauhkanlah kami dari kehinaan dunia dan azab akhirat.

Ya Allah, bantulah, panjangkanlah umur, berikanlah petunjuk serta peliharakanlah dia daripada perkara yang haram dan bentuklah dia dengan perkembangan yang sihat dan suburkanlah ia dengan kehidupan yang baik dan berikan padanya petunjuk dan ketaqwaan di dunia dan akhirat. Ya Allah, perbaikilah dirinya dan akhlaknya, hiasilah jiwanya dengan cahaya keimanan dan penuhi hatinya dengan ketaqwaan serta berpendirian teguh. Dan jadikan dia seorang yang berbakti kepada kedua ibu bapanya bukan seorang yang derhaka terhadap keduanya, dan jadikannya dari kalangan orang-orang yang salih. Dan hindari ia dari orang-orang yang berhasad dengki.

Ya Allah berikan pada jiwa-jiwa Muhamad Isyraf Eilmy ketaqwaan kepada-Mu dan sucikannya, Engkaulah sebaik-baik Zat Yang Menyucikan jiwa. Engkaulah Pelindung dan Penolongnya,, Wahai Tuhan Pencipta dan Pentadbir sekalian alam.
Ya Allah, kami memohon kepadaMu kebaikan dan jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang baik, dan Engkau berurusanlah dengan kami seperti Engkau berurusan dengan orang-orang yang baik, dan Engkau peliharalah kami dan Muhamad Isyraf Eilmy daripada segala keburukan, ujian, fitnah dan kemudharatan. Ya Allah berkatilah bagi kami pendengaran kami, penglihatan kami, hati-hati kami, isteri-isteri kami, zuriat keturunan kami, dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkau penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Wahai Tuhan kami, ilhamkan kami supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan pada kami dan kepada kedua ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai. Dan masukkan kami dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan orang-orang yang salih. Ya Tuhan kami kurniakanlah kami daripada isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami yang menyenangkan hati kami melihatnya dan jadikanlah kami sebagai ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Wahai Tuhan, jadikan Muhamad Isyraf Eilmy orang yang mendirikan sembahyang dan demikian juga zuriat keturunannya. Wahai Tuhan kami perkenankanlah doa kami. Wahai Tuhan kami, berilah ampun baginya dan bagi kedua ibubapanya serta bagi orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

Ya Tuhan kami, mohon kurniakan kepada kami kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat dan mohon selamatkan kami daripada azab api neraka.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad serta kepada ahli keluarga dan para sahabat baginda. Segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam.
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 8:53 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

CATATAN FIKIRAN AYAHANDA



Anakku ' Aisyah Syahirah tiba-tiba mengirimkan sekeping gambar. Ya, itu sejumlah novel bapa disusun di perpustakaan. Aku tahu dia terasa teruja dengan kehadiran novel bapa di rak itu.

Sebenarnya bukan setakat itu sahaja barisan karya bapa. Ada lebih 30 buah karya lain yang sudah dihadamkan isinya oleh khalayak pembaca. Bapa telah menulis sejak tahun 1986. Sudah lama. Sudah menjangkau lebih suku abad. Dan sekarang bapa masih menulis. Semalas-malas bapa akan mencatat di wall FB ini untuk renungan diri. Serajin-rajinnya bapa akan menyengkang mata ke tengah malam atau bangun awal pagi untuk menyudahkan karya. Tidak pernah bapa jemu dan penat untuk mencurahkan fikiran walaupun dari segi perolehan kewangan dan anugerahnya tidak seberapa.

Bapa berfikiran menulis itu mencambahkan kebijaksanaan dan kesolehan bukan untuk diri bapa sahaja tetapi untuk kehidupan khalayak pembaca juga.

Bapa akan terus menulis selagi upaya dalam kewarasan akal. Tatapilah karya bapa itu nanti. Itulah setakat daya keintelektualan bapamu
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 6:28 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

TERUSKAN PERJUANGAN HIDUP DENGAN USAHA SEGIGIHNYA


Anak-anak melihat jauh ke hadapan. Merenung tajam sasaran dan mata membelingas sedetik ke kiri kanan meninjau kekangan. Namun dalam apa jua pergerakan, teruslah ke hadapan kerena di sana ada sasaran yang hendak ditakluki.

Kehidupan menjadi sangat bermakna apabila seseorang itu menjadikan usahanya sebagai langkah pertama menuju kejayaan. Dalam berusaha, tidak pernah dia terfikir untuk menangguh atau berhenti atau berpuas hati atas pencapaian masa lalunya. Nun di sana ada sasaran tertentu yang hendak dicapainya dan tak termampu untuk terus dicapainya kejayaan itu melainkan dengan cara berusaha dan terus berusaha segigihnya.

Orang yang berjaya itu mampu menceritakan segala pengalamannya sementara orang yang gagal tidak berani menyebut sasaran yang hendak dicapainya.
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA di 5:57 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama
Langgan: Ulasan (Atom)
Marshanda - Ketulusan Hati

Arkib Blog

  • ►  2018 (3)
    • ►  Mac (3)
  • ►  2017 (1)
    • ►  Januari (1)
  • ▼  2015 (15)
    • ▼  Ogos (12)
      • MARILAH MENDIDIK HATI MENCINTAI KEBAIKAN (Motivasi...
      • USAH BERSEDIH MENGHADAPI HARI-HARI DEPANMU
      • BILA MANA RAMADAN INI MEMBERI KEINSAFAN
      • BERPUASA DALAM KAJIAN YANG UNIVERSAL
      • BALIKLAH BERHARI RAYA KE RUMAH EMAK
      • JALAN ITU SUDAH DITUNJUK
      • BERHARAP
      • KERANA KITA HAMBA ALLAH
      • ORANG BIJAKSANA ITU CERMINAN KELUHURAN
      • CINTA
      • RAHSIAKAN IBADAHMU
      • BERBUAT KHIANAT
    • ►  Mac (3)
      • DOA BUAT MUHAMAD ISYRAF EILMY (Ulangtahun ke-2 kel...
      • CATATAN FIKIRAN AYAHANDA
      • TERUSKAN PERJUANGAN HIDUP DENGAN USAHA SEGIGIHNYA
  • ►  2014 (6)
    • ►  Ogos (5)
    • ►  Januari (1)
  • ►  2013 (8)
    • ►  Julai (5)
    • ►  Mei (3)
  • ►  2012 (29)
    • ►  Oktober (21)
    • ►  Ogos (1)
    • ►  Februari (4)
    • ►  Januari (3)
  • ►  2011 (42)
    • ►  Disember (3)
    • ►  November (5)
    • ►  Oktober (22)
    • ►  September (4)
    • ►  Julai (3)
    • ►  April (4)
    • ►  Mac (1)

Pengikut

Catatan Popular

  • BERJALAN KE TEMPAT ORANG
    Bukan selalu berjalan-jalan ke tempat orang, melihat pandangan, merasai kepelbagaian dan menaut silaturrahim. Sesekali keluar dari lingkun...
  • MARILAH MENDIDIK HATI MENCINTAI KEBAIKAN (Motivasi untuk diri sendiri)
    Buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali. Berpada-pada itu adalah keadaan yang b ersungguh-sungguh dan cermat. Arahkan fik...
  • PERIHAL MENYEMBUNYIKAN AIB ORANG LAIN
    Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan yang buruk dalam ...
  • (tiada tajuk)
    DI SEBALIK KHASIAT MINYAK ZAITUN Minyak zaitun yang dihasilkan dari pohon zaitun merupakan produk asli hasil tani di benua Asia K...
  • DI SITU TERBITNYA MATAHARI (Info geografi)
    Allah berfirman, menerangkan perjalanan Nabi Dzulkarnain menuju tempat terbitnya matahari: “Hingga apabila telah sampai ke tempat matah...
  • MENCARI BAHAGIA
    Itulah perkara yang dicari dan ditunggu=tunggu oleh manusia dalam kehidupan. Itulah juga yang diimpikan oleh setiap lelaki dan perem...
  • PERJALANAN ITU MASIH JAUH
    Sahabat… perjalanan ini masih jauh.  Masih panjang laluan untuk sampai ke Syurga Allah.  Buatlah kebajikan sebanyaknya selagi ada pel...
  • BILA MANA RAMADAN INI MEMBERI KEINSAFAN
    Ramadan ini sahabat, marilah membuang tabiat pengambilan rokok kepada pemakanan yang sihat. Tentu sukar untuk beralih kepada sesuatu ...
  • PULANG MENZIARAHI AYAHANDA BONDA
    Pulang-pulanglah ke kampung halaman wahai anak sempena Aidilfitri i...
  • (tiada tajuk)
    MENINGKATKAN AMALAN DIRI 1. Puasa enam hari dalam bulan Syawal Fadhilat atau keutamaannya sangat besar ...
SEDEKAH ILMU UNTUK BEKALAN AKHIRAT. Tema Awang-gemawang. Dikuasakan oleh Blogger.