Rabu, 20 April 2011

KEMULIAAN GURU MENGATASI AMALAN 'ABID


KEMULIAAN   GURU MENGATASI AMALAN ‘ ABID

 


Guru dan ilmu adalah dua unsur yang tidak dapat dipisahkan. Guru adalah jambatan ilmu yang amat penting dalam sesuatu masyarakat. Sebagaimana pentingnya ilmu, maka begitu jugalah pentingnya guru dalam menyampaikannya kepada orang lain. Tanpa jembatan ini, ahli sesuatu masyarakat akan kekal hidup dalam gelap kejahilan dan meraba-raba mencari pedoman.

Menurut neraca syariat Islam yang bersifat syumul dan komprehensif merangkumi seluruh aktiviti manusia, menuntut ilmu adalah satu kewajipan yang ditaklifkan ke atas setiap orang Islam lelaki samada kewajipan itu bersifat individu mahupun yang bersifat kolektif. Ilmu yang wajib dituntut secara individu dinamakan sebagai ilmu fardhu ain dan ilmu yang wajik dituntut secara kolektif dinamakan sebagai ilmu fardhu kifayah. Secara umumnya ilmu adalah suatu yang wajib dicari dan dipelajari oleh setiap muslim lelaki dan perempuan.

Berbagai cara dan metod boleh digunakan untuk menghasilkan ilmu. Antara cara dan jalan yang paling utama dan relevan hingga ke hari kiamat ialah melalui penyampaian guru yang mengetahui terlebih dahulu ilmu-ilmu yang hendak disampaikannya. Oleh itu boleh dikatakan ilmu tidak akan sampai kepada masyarakat tanpa guru. Guru adalah syarat sampainya ilmu kepada masyarakat. Justeru itu tuntutan syariat terhadap wujudnya guru juga adalah sama status hukumnya sepertimana status hukum menuntut ilmu. Jika hukum menuntut ilmu ada dua bentuk fardhu iaitu fardhu ain dan fardhi kifayah, maka hukum taklif wujudnya  guru bagi menyampaikan ilmu itu juga ada dua iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah. Ini kerana kaedah syarak telah menyatakan bahawa:


“Sesuatu perkara yang menjadi syarat sempurna sesuatu kewajipan maka hukumnya adalah wajib”.

Menyedari hukum taklif wujudnya guru dalam sesebuah masyarakat Islam adalah wajib maka ini bermakna profesion perguruan bukannya kerja yang tidak ada nilai dalam neraca Allah. Malah jika  ia dijalankan secara ikhlas dan faham, maka ia adalah satu profesion yang menduduki tangga teratas dalam status pengabdian diri kepada Allah Taala. Ini kerana para ulamak perundangan Islam telah meletakkan  amal atau kerja yang berstatus wajip sebagai satu yang utama ditunaikan dalam senarai pilihan amal yang perlu ditunaikan dalam melengkapkan pengabdian diri kepada Allah. Malah ada ulamak perundangan Islam menyatakan bahawa sesuatu amalan sunat tidak akan terpakai sekiranya ia menyebabkan sesuatu kewajipan ditinggalkan.

Guru adalah agen yang melengkapkan keperluan daruri yang mesti diperolehi oleh setiap manusia. Guru menyampaikan ilmu yang boleh menyuburkan akal manusia. Akan adalah salah satu daripada lima maslahat daruriat yang telah digariskan oleh fuqahak. Tanpa akal yang penuh dengan ilmu, manusia akan ditimpa dengan berbagai kerosakan dan ketidak seimbangan hidup di dunia dan di akhirat. Menyuburkan akal dengan ilmu yang berfaedah dan menjauhkannya daripada kejahilan dan ilmu yang tidak berguna adalah satu kewajipan. Tidak ada orang lain yang terlibat aktif setiap hari dalam menunaikan kewajipan ini melainkan  guru.

Maka realitinya, seorang muslim dan mukmin yang telah memilih profesion perguruan adalah seorang yang telah meletakkan dirinya dalam ‘rangking’ teratas senarai hamba-hamba Allah yang sedang menyempurkan perintah dan menjauhkan diri dari laranganNya. Dengan menggunakan perkataan yang padat dan penuh makna bolehlah dikatakan bahawa seorang muslim lelaki dan perempuan yang menjawat jawatan sebagai seorang guru telah meletakkan dirinya sebaris dengan orang-orang muttaqin. Ini kerana taqwa bermakna menunaikan perintah dan meninggalkan larangan Allah Taala. Guru telah menyahut perintah Allah untuk menunaikan kefardhuan menyampaikan ilmu kepada anak-anak Islam dan telah menjauhkan diri daripada laranganNya iaitu dari tidak menunaikan kewajipan tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w menjelaskan kelebihan orang alim ke atas abid yang menumpukan pada ibadah:

Maksudnya: Kelebihan orang alim ke atas abid adalah seperti kelebihan aku ke atas sahabat ku yang paling rendah kedudukannya. (Diriwayatkan oleh Tarmizi).

Sabda baginda lagi     

Maksudnya: Satu kalimah baik yang didengar oleh mukmin lalu diajarkan kepada orang lain dan diamalkan  adalah lebih baik daripada ibadat satu tahun. (Diriwayatkan oleh Ibnu Mubarak)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan