Rabu, 26 Oktober 2011

BERPADA-PADA DALAM BERGURAU SENDA


Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjelaskan soal bergurau senda,
Ya,aku juga bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar sahaja [Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad

Sebenarnya semua orang boleh melakukan seperti Rasulullah s.a.w., iaitu bila bergurau hanya berkata yang benar saja. Tetapi kebanyakan orang sebaliknya, apabila saja bersenda gurau, maka maksud mereka tiada lain, melainkan hendak mentertawakan orang ramai dengan apa cara sekalipun.

Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: Siapa yang suka bergurau saja, niscaya orang akan memandang ringan terhadapnya.
Sayyidina Umar r.a. pernah berkata:
“Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda (al-muzaah) dengan kata-kata al-muzaah?” (maksud asal al-muzaah: alih)...

Mereka itu menjawab: “Tidak!”

Maka Umar r.a. menjawab:
“Kerana senda gurau (al-muzaah) itu, mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran.”

Said Ibnul-‘Ash berkata kepada puteranya: Wahai anakku! Jangan engkau berani bergurau senda dengan orang yang berpangkat, kelak ia akan memusuhimu, dan jangan pula kepada orang yang rendah budi, kelak ia akan kurang ajar terhadapmu.

Seorang pendita berkata: Setiap sesuatu ada benihnya, dan benih permusuhan itu bersenda gurauan.
Yang lain pula berkata: Senda gurauan itu akan merampas akal seseorang dan memutuskan perhubungannya dengan kawan-kawan.

Senda gurauan Rasulullah s.a.w. iaitu seperti diriwayatkan bahwa seorang tua perempuan telah mendatangi Rasulullah s.a.w. Maka baginda telah bergurau dengannya dengan berkata: Orang tua tidak boleh masuk syurga. Lalu menangislah si perempuan tua itu, tetapi segera pula Rasulullah s.a.w. berkata lagi: Anda tidak lagi menjadi tua bangka pada ketika itu! Lalu dibacakan kepadanya firman Allah Ta’ala.

“Kami (Allah) pertumbuhkan mereka itu (kaum wanita) suatu tumbuhan. Maka Kami tukarkan mereka itu menjadi dara-dara.” (al-Waqi’ah: 35-36)

Dalam sesuatu peristiwa yang lain, diceritakan bahwa ada seorang perempuan datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: Suamiku menjemputmu ke rumah! Baginda lalu berkata: Siapa dia suamimu itu? Apakah ia yang matanya ada putih-putih itu? Perempuan itu menjawab: Demi Allah, mata suami saya tidak ada putih-putih. Kemudian baginda berkata lagi: Bahkan di matanya ada putih-putih. Perempuan itu tetap menolak dengan berkata: Demi Allah, tidak. Maka barulah Rasulullah s.a.w. menerangkan lagi: Malah setiap orang memang ada pada matanya putih-putih. Maksud baginda ialah putih yang mengelilingi mata yang hitam itu.

Dalam senda gurauan Rasulullah yang lain lagi ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Daripada Anas bin Malik, bahawa seorang lelaki meminta kenderaan Rasulullah lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku akan membawamu di atas anak unta betina. Lalu orang itu berkata: Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina? Baginda menjawab: Bukankah yang melahirkan Al-Ibbal (unta jantan tua) itu hanya unta betina iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Maka Rasulullah S.A.W. berkata, “Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.”

.
Pernah sekali Rasulullah s.a.w. berkata kepada Suhaib yang sedang makan korma, padahal ia terkena sakit mata. Kata baginda: Boleh makan korma juga? Bukankah matamu sakit? Jawab Suhaib: Saya makan dengan sebelah mata saja, wahai Rasulullah! Mendengar jawapannya Rasulullah s.a.w. tersenyum saja. Dalam setengah riwayat pula sehingga kelihatan gigi serinya.

Rasulullah s.a.w. dalam hal bergurau senda tidak pernah berlebihan. Malah jauh sekali berisi pembohongan.
“Celakalah orang yang berbicara lalu dia berdusta kerana mahu orang ramai ketawa. Celakalah baginya. Celakalah baginya” [Hadith riwayat Ahmad dan al-Darimi]
Berkata Imam Al-Nawawi: "Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan sering dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah."

Sesungguhnya jika gurauan kita itu bermaksud untuk menyenangkan hati orang lain terutama mereka yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada mereka.

Bagaimanapun, jika gurauan itu boleh membawa kemudaratan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain, kita akan mendapat dosa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan